RATUSAN warga Palestin cedera selepas polis Israel melepaskan tembakan ke atas peserta perhimpunan di Masjid Al-Aqsa yang membantah penjarahan tanah oleh rejim tersebut.
Laporan Al-Jazeera menyebut, sekurang-kurangnya 205 warga Palestin cedera dalam dalam kejadian yang berlaku di sekitar kota suci tersebut dan di timur Baitulmaqdis.
Dalam kejadian itu, ribuan warga Palestin berhimpun bagi membantah pengusiran dari tanah yang dituntut penduduk Yahudi.
Keadaan kekacauan dilaporkan tercetus apabila polis Israel yang dilengkapi peralatan antirusuhan bertindak sewaktu penganut Islam menunaikan solat tarawikh di Masjid Al-Aqsa.
Rakaman diperolehi Al-Jazeera menunjukkan polis melepaskan tembakan ke atas penganut Islam yang membalas dengan melempar kerusi, kasut dan batu.
Polis Israel juga dilaporkan menutup pintu pagar di jalan menuju Al-Aqsa.
Serangan polis Israel itu dilaporkan turut mencederakan anggota perkhidmatan Palang Merah Palestin.
Ada di antara anggota perkhidmatan itu hilang penglihatan dan kebanyakannya cedera di bahagian muka akibat tembakan oleh polis Israel dan kesan letupan.

Puluhan ribu warga Palestin memenuhi masjid itu untuk beribadat di hari-hari akhir Ramadan dan ramai yang kekal berada di masjid untuk melakukan bantahan.
Presiden Palestin Mahmoud Abbas menuntut Israel bertanggungjawab atas serangan ke atas kota suci tersebut dan menuntut Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bersidang.
Beliau turut memuji tindakan berani penunjuk perasaan terbabit.
Pendatang Yahudi memfailkan saman pada 1970 mendakwa kawasan berkenaan milik asal mereka dan menuntut pendudu yang tinggal di kawasan itu sejak 1956 diusir.
Keluarga yang merupakan pelarian dari peristiwa Nakba 1948 itu menetap di kawasan Sheikh Jarrah mengikut perjanjian di antara Jordan dan agensi pelarian PBB.
Mahkamah Israel dalam siri perbicaraannya menetapkan empat keluarga – al-Kurd, Iskafi, Qassim dan Jaouni – perlu meninggalkan rumah untuk memberikan ruang itu kepada pendatang Yahudi.
Sekiranya enggan berpindah, keluarga berkenaan diarah mencapai persetujuan dengan pendatang terbabit dengan membayar sewa atau mengiktiraf pendatang sebagai tuan tanah.
Keluarga berkenaan enggan menerima ketetapan tersebut dan mahkamah bakal menetapkan keputusan akhir pada Isnin. – 8 Mei, 2021.

Komen