MAHKAMAH Jenayah Antarabangsa (ICC) semalam memutuskan ia mempunyai bidang kuasa ke atas wilayah Palestin yang diduduki Israel, sekali gus membuka jalan bagi tribunal itu membuka siasatan jenayah perang.
Pendakwa Raya ICC Fatou Bensouda sebelum ini telah meminta pandangan mahkamah sama ada wilayah Palestin turut tertakluk di bawah bidang kuasa tribunal itu, selepas beliau umum mahu memulakan siasatan penuh pada Disember 2019.
Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu menyelar ICC yang difatkannya sebagai “badan politik”, manakala Amerika Syarikat (AS) pula menyuarakan “kebimbangan serius” atas keputusan ICC itu.
Palestin menyambut baik keputusan tersebut, dengan Perdana Menteri Mohammed Shtayyeh berkata ia satu kemenangan untuk keadilan dan kemanusiaan.
“Majoriti hakim memutuskan bahawa bidang kuasa mahkamah itu dalam situasi di Palestin, sebuah negara anggota bawah Statut Rome ICC, meluas hingga ke wilayah ditakluki Israel sejak 1967, iaitu Gaza dan Tebing Barat, termasuk Baitulmaqdis Timur,” kata ICC dalam satu kenyataan. Palestin adalah anggota ICC sejak 2015, manakala Israel tidak.
Menurut kenyataan itu lagi, keputusan itu tersebut bukanlah mengenai “kenegaraan” Palestin tetapi kedudukannya sebagai anggota Statut Rome.
“Mahkamah ini tidak membuat keputusan atas satu pertikaian sempadan bawah undang-undang antarabangsa, atau bukan melakukan penilaian awal bagi persoalan mengenai sebarang persempadanan pada masa depan.
“Keputusan ini hanya untuk menentukan bidang kuasa mahkamah,” katanya. – AFP, 6 Februari, 2021.
Komen