OIC kecam tindakan Israel cabul hak rakyat Palestin


Penduduk Palestin dilarang memasuki Masjid al-Aqsa untuk menunaikan solat Subuh. – Gambar EPA, 2 Oktober, 2021.

PERTUBUHAN Kerjasama Islam (OIC) pada Jumaat mengecam tindakan Israel yang berterusan mencabuli hak asasi rakyat Palestin di Baitulmaqdis Timur.

OIC memberi amaran mengenai kesan buruk yang timbul susulan dasar pendudukan Israel itu yang melakukan pembersihan etnik serta mengusir penduduk Palestin.

Rejim itu berusaha untuk mengubah identiti sejarah dan status undang-undang Baitulmaqdis Timur dan memisahkannya dari Palestin, lapor agensi Anadolu memetik kenyataan OIC.

OIC turut mengutuk tindakan rejim zionis yang menghalang rakyat Palestin memasuki Masjid al-Aqsa.

Ratusan rakyat Palestin dihalang daripada memasuki Masjid Al-Aqsa untuk menunaikan solat Subuh.

Undang-undang antarabangsa menganggap Tebing Barat dan Baitulmaqdis Timur sebagai wilayah yang diduduki dan menganggap semua kegiatan pembinaan penempatan Yahudi di situ adalah haram.

Kira-kira 650,000 penceroboh tinggal di 164 penempatan dan 124 kawasan di Tebing Barat, termasuk di Baitulmaqdis Timur yang diduduki. – Bernama, 2 Oktober, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen