AMERIKA Syarikat (AS) tidak memerlukan “kebenaran” Israel untuk membuka semula konsulatnya bagi rakyat Palestin di Baitulmaqdis, kata perdana menteri Palestin pada Rabu, menggesa Washington menghormati ikrar diplomatiknya.
Pentadbiran Presiden Joe Biden berkata ia akan membuka semula konsulat diplomatik yang secara sejarah bertanggungjawab ke atas hal ehwal Palestin yang ditutup oleh pendahulunya Donald Trump, yang mengiktiraf Baitulmaqdis sebagai ibu kota Israel.
Konsulat itu berpangkalan di Baitulmaqdis barat tetapi termasuk pejabat perkhidmatan konsular di Baitulmaqdis timur diilhakkan Israel, yang didakwa rakyat Palestin sebagai ibu negara masa depan mereka.
Ketika memberi taklimat kepada wartawan asing di bandar Ramallah, Tebing Barat yang diduduki, Perdana Menteri Palestin Mohammed Shtayyeh berkata AS tidak memerlukan kebenaran sesiapa untuk membuka semula konsulatnya.
Komen itu dibuat selepas perdana menteri sayap kanan Israel, Naftali Bennett memberitahu wartawan pada Sabtu bahawa tiada ruang untuk konsulat Amerika lain di Baitulmaqdis, dengan jelas menyatakan kerajaannya akan menentang langkah Washington untuk membuka semula konsulat Palestin.
Menteri Luar Yair Lapid memberitahu sidang akhbar yang sama Israel tidak akan membantah AS untuk membuka konsulat di Ramallah.
“Ramallah bukan Baitulmaqdis, dan Ramallah bukan ibu negara Palestin,” kata Shtayyeh.
“Adalah menjadi harapan kami agar apa yang dijanjikan (AS) akan ditunaikan,” katanya.
Bennett adalah seorang yang lantang menentang kenegaraan Palestin.
Sebagai tambahan kepada penentangan ideologinya terhadap diplomasi Palestin di Baitulmaqdis, pembukaan semula misi AS juga akan menimbulkan masalah politik bagi perdana menteri Israel.
Jika beliau membenarkan rancangan konsulat AS diteruskan, ia akan dilihat mengukuhkan tuntutan Palestin ke atas kota suci yang menjadi pertikaian—pendirian yang akan mengasingkan sekutu sayap kanannya, mungkin mengganggu pakatan lapan partinya yang berbeza ideologi.
Shtayyeh juga menggesa tindakan AS yang lebih tegas terhadap perluasan penempatan di Tebing Barat, sebuah wilayah yang kini menempatkan kira-kira 475,000 orang Yahudi yang secara meluas dianggap sebagai haram di bawah undang-undang antarabangsa.
Beliau berkata, jika AS boleh menyenaraihitamkan syarikat Israel NSO Group berhubung produk perisian pengintip Pegasus yang Washington anggap bertentangan dengan kepentingan Amerika minggu lalu, ia juga sepatutnya boleh menyekat eksport dari penempatan itu. – AFP, 11 November, 2021.
Komen