Sukan rakyat, seni budaya perlu diperkasa, kata PM


Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob berkata sukan rakyat dan seni budaya perlu diperkasa bagi memastikan ia tidak luput ditelan zaman selain jadi tarikan pelancongan untuk tingkat pendapatan rakyat. – Gambar fail The Malaysian Insight, 14 September, 2021.

SUKAN rakyat dan seni budaya perlu diperkasakan bagi memastikan ia tidak luput ditelan zaman, selain menjadi tarikan pelancongan yang dapat meningkatkan pendapatan rakyat, kata Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob. 

Beliau berkata sukan rakyat seperti gasing, galah panjang ceper, timbang bola merupakan sebahagian daripada identiti rakyat Malaysia dan tidak seharusnya dilupakan generasi muda yang kini lebih gemar bermain permainan video. 

Bagi tujuan itu, Ismail Sabri berkata pihak terlibat seperti Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) telah diminta untuk memohon peruntukan sewajarnya daripada Kementerian Kewangan bagi mempromosikan semula sukan rakyat dan kebudayaan Malaysia. 

“Kita kena sediakan infrastruktur yang sesuai seperti di Bera, Dataran Kerayong boleh digunakan untuk aktiviti sebegini (sukan rakyat) seperti yang dilakukan pada hujung minggu suatu ketika dahulu… ini bukan hanya menarik minat rakyat setempat tetapi juga pelancong luar. 

“Ini boleh menjadi platform kepada kita untuk memperkenalkan budaya yang semakin pupus sedangkan sukan rakyat, kebudayaan dan makanan adalah keistimewaan negara kita,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Program Komuniti Keluarga Malaysia ‘Hogoh Bera 2020’ di Felda Kumai di sini, hari ini. 

Turut hadir Menteri Motac Nancy Shukri dan Menteri Besar Pahang Wan Rosdy Wan Ismail. 

Perdana menteri berkata berdasarkan pengalaman beliau sebagai Pengerusi Persatuan Gasing Pangkah Pahang sebelum ini, penglibatan akar umnbi penting untuk menghidupkan permainan tradisi itu dan antara inisiatif yang boleh dilakukan adalah pertandingan di pelbagai peringkat. 

Selain itu, sukan rakyat dan persembahan kebudayaan menurut Ismail Sabri boleh dijadikan sebagai ‘pertunjukan wajib’ kepada pelancong sebagai mana pertunjukan Tari Kecak di Bali, Indonesia yang dipertontonkan kepada pengunjung yang berminat mempelajari budaya unik masyarakat tempatan. 

Di Malaysia, Ismail Sabri berkata antara yang boleh diketengahkan ialah tarian sewang masyarakat Orang Asli dan pelbagai lagi tarian kebudayaan masyarakat berbilang kaum negera ini. 

Mengenai beberapa pertunjukan kebudayaan yang dihentikan seperti Mak Yong kerana dikatakan mempunyai unsur syirik, Ismail Sabri berkata perkara itu memerlukan kerjasama daripada kerajaan negeri untuk mencari penyelesaian terbaik. 

“Apabila perkara itu difatwakan oleh majlis agama, kita perlu menerimanya. Bagaimanapun, kerajaan negeri Kelantan difahamkan sudah memberi kebenaran dengan beberapa perubahan untuk memastikan ia patuh syariah supaya tidak berlaku isu seperti ini dbangkitkan,” katanya. – Bernama, 14 September, 2021.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen