Artis Albania tawar terapi dengan lukis potret guna kopi


David Kryemadhi berkata seni kopi adalah salah satu terapi yang paling berjaya, ia membantu untuk mengatasi detik sukar seperti yang dialami waktu pandemik atau ketika gempa bumi. – Gambar AFP, 26 Oktober, 2021.

ARTIS Albania David Kryemadhi menggunakan berus dan kopi, berhati-hati melakar wajah pelanggan kafe sambil berharap tawaran potret percuma akan membawa keceriaan ketika pandemik.

Ramai rakyat Albania menganggap kafe sebagai institusi penting, memperuntukkan masa mereka dengan kafein dalam negara dengan 2.8 juta populasi.

Menurut Institut Statistik Albania, terdapat kira-kira 600 kafe bagi setiap 100,000 orang di negara itu - salah satu yang tertinggi di dunia.

“Seni dan kopi membantu ramai orang,” kata Kryemadhi kepada AFP di bandar tepi laut Durres.

“Saat tenang dan refleksi ketika melukis potret membantu orang lain memperoleh keyakinan diri dan melihat dunia dengan tenaga yang positif, mata yang lebih terbuka.”

David Kryemadhi (kanan) akan memulakan perbualan dengan pelanggan sebelum menawarkan potret percuma menggunakan berus, kopi. – Gambar AFP, 26 Oktober, 2021.

Kryemadhi menggunakan kopi seperti cat air, menghasilkan potret dengan warna coklat patina selain menambah sedikit air bagi mendapatkan spektrum warna yang berlainan.

Di kafe Albania, beliau menjumpai suasana semula jadi untuk terapi seni caranya.

Beliau akan memulakan perbualan dengan pelanggan sebelum menawarkan potret percuma.

“Ia memberi saya banyak kebaikan,” kata pelajar Alexsandra sambil menunggu potretnya kering.

“Saya dapati dalam lukisan ini ada semua emosi saya, seksaan saya, fikiran saya.”

Di kafe Albania, David Kryemadhi menjumpai suasana semula jadi untuk terapi seni caranya – Gambar AFP, 26 Oktober, 2021.

Terapi yang berjaya

Eva Allushi dari Universiti Durres menjelaskan kafe di Albania adalah “penting dalam kehidupan sosial” di mana orang ramai rasa bebas untuk meluahkan perasaan mereka.

“Kebaharuan dalam seni David ialah hakikat yang beliau membina jambatan dengan rakan pengembaranya di institusi Albania ini,” katanya.

Kryemadhi berkata beliau berharap potretnya dapat membantu mengurangkan beberapa tekanan yang disebabkan oleh Covid-19 di Durres, kawasan yang sedang pulih daripada gempa bumi yang dahsyat pada 2019 yang mengorbankan berpuluh-puluh nyawa dan menyebabkan ribuan lagi kehilangan tempat tinggal.

“Seni kopi adalah salah satu terapi yang paling berjaya,” kata Kryemadhi.

“Ia membantu untuk mengatasi situasi sukar seperti yang dialami dengan pandemik atau gempa bumi.” – AFP, 26 Oktober, 2021.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen