600 kopitiam tutup sementara operasi sejak Oktober, kata persatuan


Khoo Gek San

Kebanyakan pengusaha kedai kopi di Lembah Klang berdepan kemungkinan menghentikan operasi susulan kemerosotan perniagaan akibat PKPB. – Gambar fail The Malaysian Insight, 23 Disember, 2020.

HAMPIR 600 kedai kopi ditutup sementara sejak pelaksanaan perintah kawalan pergerakan bersyarat (PKPB) pada pertengahan Oktober, dengan jumlah yang sama berdepan kemungkinan ditutup dalam beberapa bulan mendatang, kata pemiliknya.

Mereka berkata kedai kopi tradisional (kopitiam) ini, yang kebanyakannya terletak di Lembah Klang, mengalami kemerosotan perniagaan yang teruk akibat PKPB.

Presiden Persatuan Pemilik Kedai Kopi Malaysia Singapura, Ho Su Meng melahirkan kebimbangan angka itu akan terus meningkat dalam beberapa bulan akan datang.

Beliau menambah PKPB - yang dilanjutkan di Kuala Lumpur, Selangor dan Sabah hingga akhir tahun ini - menyaksikan orang ramai mengurangkan di luar kerana bimbang dijangkiti Covid-19, menyebabkan perniagaan kopitiam merosot.

Sebelum ini, pada Ogos persatuan melaporkan 2,000 kopitiam menutup perniagaan sejak pelaksanaan PKP pada Mac.

Persatuan ini mempunyai 20,000 ahli di seluruh negara.

“Menurut laporan daripada ahli di seluruh negara, sekurang-kurangnya 500 hingga 600 kedai kopi memilih untuk tutup sementara,” kata Ho kepada The Malaysian Insight.

“Jika orang ramai tidak digalakkan keluar dan memacu ekonomi domestik, 500 hingga 600 kedai kopi terpaksa ditutup dalam tempoh dua hingga tiga bulan ini.

“Saya khuatir 3,000 kedai kopi terjejas dengan wabak pada tahun ini.

“Simpanan mereka sudah habis. Banyak yang membuka kedai tetapi pada masa sama bimbang kemungkinan didenda jika tidak berhati-hati dengan sekatan.”

Pada Ogos lalu, Persatuan Pemilik Kedai Kopi Malaysia Singapura melaporkan 2,000 kopitiam menutup perniagaan sejak pelaksanaan PKP pada Mac. – Gambar AFP, 23 Disember, 2020.

Penguatkuasaan ketat jejas perniagaan

Sementara itu, Presiden Persatuan Pekedai Kopi dan Teh Cina Selangor dan Kuala Lumpur, Chris Lee berkata satu daripada punca penutupan kedai kopi di Selangor adalah tindakan keras agensi penguatkuasaan undang-undang.

Beliau berkata industri berdepan penurunan jumlah perniagaan yang mendadak, dan tambah terbeban dengan denda kerana melanggar prosedur operasi standard (SOP).

“Selepas larangan antara negeri ditarik balik dua minggu yang lalu, kami menerima ramai pelanggan. Tiada sekatan berhubung tempat makan tetapi kami masih menjaga penjarakan fizikal. Justeru, meja tidak akan penuh.

“Namun, badan penguat kuasa terus ‘mengganggu’. Kami sudah berunding dengan pihak berkuasa tempatan mengenai SOP tetapi denda dikenakan bagi setiap perkara kecil.”

Lee berkata pengusaha kedai kopi di Selangor mengalami tempoh paling sukar untuk beroperasi dari Januari hingga Mac. 

Perniagaan perlahan-lahan pulih sebanyak 60% hingga 70% pada September sebelum gelombang ketiga wabak melanda.

“Tidak banyak pelanggan kerana orang bekerja di rumah dan kadar sewa di Selangor dan Kuala Lumpur adalah tinggi, antara RM10,000 hingga RM20,000.

“Perniagaan yang tidak dapat menampungnya terpaksa ditutup sementara.”

Tiada pelanggan

Kebelakangan ini, kelonggaran SOP oleh kerajaan seperti membatalkan jumlah individu di setiap meja makan membantu pemilik kedai kopi, kata Ho.

Walaupun kelonggaran diberi, peniaga tetap berhati-hati dengan penjarakan fizikal. Ini kerana apabila kedai kopi dikaitkan dengan kes jangkitan, ia akan menyukarkannya untuk meneruskan operasi.

Beliau juga berkata terdapat banyak pelanggan di Melaka dan Ipoh selepas kerajaan menarik larangan merentas negeri. 

Namun, beberapa kawasan seperti Segamat, Muar, Johor Bahru, Seremban masih sepi pada hujung minggu kerana kes Covid-19 yang tinggi.

“Pulau Pinang tidak ramai pelancong, tetapi Cameron Highlands, Melaka dan Ipoh menyaksikan peningkatan pelancong.

“Kami mengharapkan lebih ramai orang berbelanja semasa cuti Krismas dan Tahun Baru yang panjang,” kata Ho.

Beliau berkata banyak kedai kopi di Butterworth, Lembah Klang, dan Johor Bahru bergantung kepada pelancong bagi memboleh ia menampung sewa yang tinggi.

Pemotongan gaji pengaruhi amalan makan di luar

Pengerusi Persatuan Pengusaha Makanan Tawau Chau Oi Keong berkata banyak kedai kopi mengurangkan kakitangannya, sementara keluarga juga tidak lagi makan di luar.

Katanya, pengusaha kedai kopi mempertaruhkan nyawa membuka kedai selepas jumlah kes Covid-19 yang disahkan meningkat dengan mendadak berikutan pilihan raya negeri Sabah.

“Keadaan pasaran lembap. Banyak pekerja tempatan atau migran terjejas oleh wabak ini dengan pengurangan gaji. Justeru, mereka mengurangkan makan di luar.

“Medan selera yang saya buka berdekatan pejabat kerajaan, jadi mereka biasanya akan datang makan seperti biasa.”

Chau berkata restoran juga tidak mempunyai pendapatan untuk membayar gaji pekerja mereka dan 20% kedai kopi di Sabah ditutup kerana tidak dapat menampung perbelanjaan.

Beliau berkata Tawau bukanlah tempat pelancongan dan bergantung kepada Semporna untuk perniagaan. – 23 Disember, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen