Kaji semula larangan aktiviti sukan, riadah, gesa ahli Parlimen DAP


Ravin Palanisamy

Kementerian Belia dan Sukan semalam berkata semua aktiviti sukan dan rekreasi di premis atau kemudahan komersial, kemudahan awam dan kawasan terbuka di kawasan PKP digantung. – Gambar fail The Malaysian Insight, 7 Mei, 2021.

PUTRAJAYA sepatutnya menggunakan data dari sistem amaran awal yang mengenal pasti kawasan panas penularan Covid-19 sebelum melarang semua aktiviti sukan dan riadah di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), kata Ong Kian Ming.

Ahli Parlimen Bangi itu merujuk kepada sistem dikenali Hotspots Identification for Dynamic Engagement (Hide), yang mengesan mana-mana premis atau lokasi sebagai kawasan panas untuk kemungkinan wujudnya kluster baharu.

“Memandangkan sistem pengesanan kawasan panas sudah dibangunkan dan sedang diguna pakai, saya menggesa pihak berkuasa menggunakan data sejarah MySejahtera (dengan anggapan ia tidak dipadam) untuk mengesan berapa banyak kluster yang wujud disebabkan oleh aktiviti sukan di kawasan terbuka,” katanya dalam kenyataan.

Ong berkata langkah sama juga boleh diguna pakai untuk aktiviti lain seperti menonton wayang di pawagam dan bersenam di gimnasium.

 “Jika jumlah kluster tidak besar, maka Majlis Keselamatan Negara (MKN) perlu segera membatalkan larangan berjoging dan bersenam di luar rumah, serta membenarkan gimnasium dan pawagam dibuka semula dengan SOP (prosedur operasi standard) yang ketat,” tambah ahli Parlimen DAP itu.

MKN semalam memutuskan untuk menggantung sementara sektor serta aktiviti sukan dan rekreasi di enam daerah di Selangor bermula semalam dan Kuala Lumpur mulai hari ini.

Susulan itu, Kementerian Belia dan Sukan juga umum semua aktiviti sukan dan riadah di premis atau kemudahan komersial, kemudahan awam dan tempat terbuka di kawasan PKP digantung.

Timbalan Menteri Belia dan Sukan Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal di Twitter malam tadi berkata larangan tersebut diputuskan oleh MKN dan Kementerian Kesihatan (KKM) selepas membuat penilaian menyeluruh.

“Sebagai peminat sukan kita sudah tentu sedih dengan sekatan ini, tetapi saya cukup yakin KKM dan MKN telah menggunakan semua kaedah dan data saintifik yang diperlukan sebelum mengambil keputusan ini.

“Semoga keadaan menjadi lebih baik,” tulisnya. – 7 Mei, 2021. 

Berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen