Jaga sensitiviti budaya semasa berkomunikasi


BARU-BARU ini, kejadian salah faham yang dikatakan sebagai tindakan mempersenda dan menghina budaya masyarakat Iban di Sarawak oleh seorang pengguna media sosial yang terkenal tular di negara ini.

Situasi ini jelas menunjukkan pentingnya peranan dan pemerkasaan pendidikan tentang komunikasi antara budaya di negara berbilang kaum dan beraneka budaya ini.

Komunikasi antara budaya sering disalah erti sebagai bentuk komunikasi yang berlangsung antara masyarakat dalam negara dan luar negara namun ia sebenarnya amat penting dan signifikan dalam sesebuah negara majmuk seperti Malaysia yang kaya dengan pelbagai budaya.

Hakikatnya, masalah seperti mempersenda dan menghina budaya orang lain sebegini bukan baru dan agak sering terjadi pada masa lalu bukan saja di Malaysia malah negara luar.

Di negara seperti Eropah misalnya, kecaman dan diskriminasi terhadap wanita berhijab turut berlaku secara terang-terangan yang jelas bertentangan dengan prinsip kebebasan beragama.

Perkara sebegini jelas menunjukkan literasi segelintir masyarakat tentang sensitiviti budaya orang lain adalah rendah dan amat membimbangkan kerana sekiranya tidak terkawal boleh mencetuskan konflik yang mengancam kesejahteraan masyarakat.

Di Malaysia, kejadian sebegini sering terjadi dengan alasan hanya untuk bergurau senda.

Ironinya, pelaku yang menghina budaya orang lain baik daripada segi pemakaian, pemakanan, cara bercakap dan sebagainya ini seolah-olah tidak berupaya meletakkan batasan sewajarnya dalam “bergurau”.

Bak kata orang lama, bergurau itu boleh tapi perlulah ada batasnya. Gurauan sehingga menghina jelas sekali tidak boleh diterima dalam apa jua keadaan sekalipun.

Justeru, komunikasi antara budaya yang merupakan salah satu cabang dalam bidang komunikasi merupakan instrumen penting dalam mendepani perkara sebegini.

Komunikasi antara budaya pada umumnya menekankan kepentingan memahami budaya yang kompleks seperti bahasa, gaya hidup, agama dan sebagainya bagi melahirkan komunikator kompeten berupaya berkomunikasi dengan efektif dalam masyarakat berbilang budaya.

Dalam komunikasi antara budaya, aspek penting seperti kepelbagaian simbol budaya, stereotaip, etnosentrisme, diskriminasi dan prejudis yang menjadi antara cabaran terbesar dalam komunikasi berbeza budaya turut ditekankan.

Pendidikan tentang komunikasi antara budaya yang turut menitikberatkan aspek seperti menjadi seorang pendengar aktif, kesedaran budaya dan etika yang dapat dilakukan menerusi pendidikan formal di universiti dan secara tidak formal dan santai seperti menerusi media sosial oleh pihak yang berkepentingan.

Latihan dalam komunikasi antara budaya di tempat kerja juga boleh dipraktikkan bagi memastikan setiap staf yang juga ahli masyarakat lebih cakna dan mahir berkomunikasi rentas budaya.

Pendidikan dan informasi mengenai komunikasi antara budaya adalah sangat penting kerana ia menjadikan seseorang individu itu dapat memahami dan seterusnya menghormati orang lain dengan lebih baik.

Malah, ia dapat mendekatkan individu dengan individu yang lain dan seterusnya mengelakkan konflik antara budaya tercetus seperti mana kejadian baru-baru ini.

Tambahan pula, pendidikan tentang komunikasi antara budaya juga selari dengan sasaran 4.7 dalam Matlamat Pembangunan Lestari (SDG) 2030 yang menekankan tentang penghargaan kepelbagaian budaya.

Seperti mana bentuk komunikasi-komunikasi lainnya, komunikasi antara budaya juga semakin mencabar dalam era media sosial yang menyebabkan sesuatu mesej termasuklah yang negatif berkaitan budaya disampaikan secara pantas tanpa batasan geografi.

Kewujudan fenomena tular dalam media sosial juga menyebabkan salah faham tentang budaya semakin membesar dan rumit sehingga kadang-kala boleh mendatangkan kesan yang lebih buruk seperti buli siber.

Justeru, masyarakat juga perlulah lebih bijak dalam berkongsikan maklumat dalam media sosial masing-masing agar tidak menyentuh sensitiviti budaya.

Harus difahami setelah sesuatu bentuk komunikasi berlangsung, ia tidak boleh diubah semula namun boleh dibetulkan melalui komunikasi kemaafan.

Dalam konteks ini, pelaku boleh dengan ikhlas menyatakan permohonan maaf atas tindakan beliau kepada pihak yang terkesan dan diharapkan isu sensitif yang melibatkan budaya sebegini dapat diselesaikan dengan sebaik mungkin.

Ia juga boleh menjadi pengajaran kepada orang lain untuk lebih sensitif terhadap budaya orang lain terutamanya dalam komunikasi sama ada secara lisan atau bukan lisan.

Pada akhirnya, keberkesanan dalam komunikasi antara budaya bergantung kepada kecekapan komunikator itu sendiri dalam mengendalikan proses komunikasi yang sememangnya kompleks. – 11 Jun, 2021.

* Dr Mohamad Saifudin Mohamad Saleh, Pusat Pengajian Komunikasi, Universiti Sains Malaysia.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen