Negeri Fasa 2, 3 boleh sukan bersentuhan mulai Jumaat, kata PM


Aktiviti sukan dan rekreasi berpasukan melibatkan sentuhan fizikal seperti bola sepak di fasiliti terbuka serta tertutup dibenarkan bagi individu lengkap vaksin di negeri Fasa 2 dan 3 PPN mulai Jumaat ini. – Gambar fail The Malaysian Insight, 15 September, 2021.

PERDANA Menteri Ismail Sabri Yaakob hari umum beberapa kelonggaran prosedur operasi standard (SOP) di negeri Fasa 2 dan 3 Pelan Pemulihan Negara (PPN) berkuatkuasa Jumaat ini.

Kelonggaran itu termasuk kebenaran bagi aktiviti sukan dan rekreasi berpasukan melibatkan sentuhan fizikal seperti bola sepak, bola tampar dan takraw di fasiliti terbuka serta tertutup.

Ismail Sabri dalan kenyataan hari ini bagaimanapun berkata kebenaran aktiviti tersebut hanya kepada individu telah lengkap dua dos vaksin Covid-19 dan dilakukan di premis yang dikawal selia sepenuhnya.

Bagi sektor ekonomi pula, perdana menteri mengumumkan semua pejabat swasta di negeri Fasa 2 dibenarkan beroperasi pada kapasiti 60% sekiranya 40% pekerja telah lengkap divaksin.

Syarikat dibenarkan beroperasi pada kapasiti 80% jika 60% pekerja sudah menerima dua dos vaksin, katanya. Seterusnya, jika 80% pekerja telah lengkap divaksin, syarikat boleh beroperasi pada kapasiti penuh. 

Selain itu, sektor pengurusan perhutanan di negeri Fasa 2 dan 3 turut dibenarkan mulai Jumaat ini, merangkumi pembalakan, perladangan hutan dalam hutan simpan kekal dan pembangunan hutan.

Ismail Sabri dalam pada itu umum kebenaran mesyuarat bersemuka bagi individu telah lengkap vaksin di negeri Fasa 2, 3 dan 4 PPN.

Beberapa jenis perniagaan di negeri Fasa 1 dibenarkan beroperasi, juga dengan syarat vaksin yang ditetapkan, tambah Ismail Sabri.

Perniagaan tersebut adalah:
a. Kedai barang fotografi/ perkhidmatan fotografi;
b. Kedai barangan terpakai;
c. Kedai bunga/ nurseri;
d. Kedai kraftangan dan cenderahati;
e. Kedai antik;
f. Kedai alat permainan;
g. Kedai permaidani;
h. Kedai kandungan kreatif/peralatan industri kreatif;
i. Kedai outdoor (termasuk peralatan perkhemahan, memancing dan lain-lain);
j. Kedai kosmetik, penjagaan kulit dan minyak wangi;
k. Kedai tembakau (termasuk vape/rokok elektronik).

Tabika, taska, tadika, pusat jagaan harian serta pusat perkembangan minda di negeri Fasa 1 dan 2 juga dibenarkan beroperasi dengan syarat operator dan pekerja mesti menerima vaksinasi lengkap terlebih dahulu.

Kerajaan juga membenarkan individu telah lengkap vaksin di negeri Fasa 1 dan 2 melakukan aktiviti memancing di kolam  mulai Jumaat ini.

Tidak ketinggalan, aktiviti ziarah kubur Islam di semua negeri kini dibenarkan mengikut ketetapan pihak berkuasa agama negeri dan Kementerian Perpaduan Negara (KPN) bagi kubur selain Islam, kata Ismail Sabri. – 15 September, 2021. 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen