Putrajaya digesa gugur senarai negatif, buka semua sektor 


Ravin Palanisamy

Ketika sektor ekonomi mula dibuka, perniagaan dalam sektor hiburan masih ditutup dan tiada maklumat daripada kerajaan berhubung pembukaan semula.– Gambar fail The Malaysian Insight, 22 Oktober, 2021.

KUMPULAN persatuan perniagaan menggesa Putrajaya membenarkan perniagaan yang diklasifikasikan di bawah senarai negatif Pelan Pemulihan Negara (PPN) untuk kembali beroperasi berikutan banyak sekatan dilonggarkan.  

Menggelar diri mereka sebagai “Industries Unite”, pemimpin perniagaan meluahkan kebimbangan masih ada “senarai negatif” termasuk kelab malam dan pub, yang tidak boleh dibuka, walaupun sebahagian besar negeri telah beralih ke Fasa 3 dan 4 PPN.

“Tiada maklumat mengenai jalan keluar dari senarai negatif. Kami merasakan senarai negatif mungkin secara tidak sengaja tidak dimansuhkan dan sangat penting,” kata pengasas Industries Unite Irwin SW Cheong yang mewakili 12 persatuan lain dalam satu kenyataan hari ini. 

Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan semua negeri dan wilayah kini beralih ke Fasa 3 dan ke atas di bawah PPN. 

Seluruh Lembah Klang, Negeri Sembilan, Melaka, Pahang dan Labuan adalah dib awah Fasa 4, manakala negeri selebihnya di Fasa 3. 

Dengan kadar vaksinasi populasi dewasa melebihi 90%, kumpulan itu merayu kerajaan untuk memansuhkan senarai negatif berkuat kuasa serta merta. 

Mereka menyatakan dengan kebanyakan negara sedang bersiap sedia untuk menyambut pelancong antarabangsa, Malaysia kemungkinan akan kalah dengan negara jiran jika Putrajaya memutuskan untuk menutup sektor-sektor ini.

“Dengan seluruh negara mencapai 94% vaksinasi populasi orang dewasa dan menerima hakikat bahawa Covid-19 kini endemik, pembukaan seluruh ekonomi dengan semua perniagaan dibenarkan beroperasi, termasuk kelab malam dan pub perlu dilaksanakan segera,” kata Cheong.

“Dengan kebenaran perjalanan rentas negeri dan pelancongan domestik ketika ini, kami membayangkan pembukaan pelancongan antarabangsa tidak lama lagi dan sektor hiburan termasuk kelab malam dan pub juga akan dicari oleh pelancong antarabangsa.

“Sekiranya sektor ini dibiarkan musnah dan tidak pulih sepenuhnya untuk beroperasi, negara kita akan kehilangan salah satu faedah untuk pelancong antarabangsa yang bersaing dengan negara jiran sebagai destinasi pelancongan. Semakin lama ia ditutup, kita makin dekat dengan kemusnahan keseluruhan sektor ini,” kata kenyataan itu.

Selain itu kata kumpulan berkenaan, kelab malam dan pub kini menanggung kerugian dan ramai yang hilang pekerjaan kerana sektor ini masih ditutup sejak pandemik bermula. 

“Dengan penutupan kelab malam dan pub, industri kreatif, hiburan dan gig hilang sumber pendapatan kerana tidak dapat beroperasi. Sejak permulaan pandemik, kebanyakan mereka terpaksa mencari sumber lain untuk bertahan. 

“Selain operator, industri menganggarkan (sekurang-kurangnya) 150,000-250,000 (langsung dan tidak langsung) pekerjaan dipertaruhkan dengan penutupan berterusan industri hiburan malam.

Pada masa ini, semua tempat hiburan malam masih ditutup dengan sebahagian besar pekerja tidak mendapat cuti bergaji dan mereka kini dibantu oleh program subsidi upah, bersama dengan sumber pekerjaan sementara yang lain.

“Sekiranya pihak berkuasa meneruskan penutupan berpanjangan tanpa jalan keluar, perniagaan akan terpaksa ditutup dan kami akan melihat sekumpulan penuntut yang lebih besar untuk Skim Insurans Pekerjaan (EIS) dalam beberapa hari akan datang,” kata Cheong. – 22 Oktober, 2021.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen