Kerajaan pinggirkan kami, kata pengendali pusat hiburan


Angie Tan

Pemilik pusat hiburan rasa dipinggirkan kerana masih tidak dibenarkan beroperasi berbanding sektor lain. – Gambar AFP, 25 Februari, 2021.

SELEPAS setahun pandemik Covid-19 melanda negara, pemilik pusat hiburan berasa dipinggirkan kerana masih tidak dibenarkan beroperasi berbanding sektor lain.

Pusat karaoke, bar, kelab malam dan disko diarah tutup sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pertama kali dilaksanakan pada Mac tahun lalu kerana ruang premis yang tertutup dan sesak sukar untuk memastikan penjarakan fizikal dipatuhi.

Premis masih tidak dibenarkan beroperasi walaupun sekatan pergerakan dilonggarkan sebelum PKP dilaksanakan semula pada Januari.

Bagi Thien Chen Yan, pemilik pusat hiburan karaoke keluarga di Sabah yang ditemui The Malaysian Insight, beliau hanya sempat membuka premis untuk tiga bulan tahun lalu.

“Terpaksa tutup selepas PKP Bersyarat dikuatkuasakan pada Oktober. Saya faham situasi Covid-19 masih serius, dan saya memang patuh pada arahan. Tetapi saya tetap kecewa kerana perniagaan saya lama tak beroperasi.

“Saya mula kehabisan wang dan makanan, jadi saya hendak tahu mengapa kami (sektor hiburan) dipinggirkan?” soal Thien.

Katanya, kerajaan seolah-olah lupa pemilik pusat hiburan masih perlu membayar gaji pekerja, bil dan sewa, sedangkan mereka tidak mempunyai pendapatan, tambahnya.

Menurut Thien, bukan mudah bagi pemilik pusat hiburan terus beralih kepada mengusahakan restoran atau kafe, seperti yang dilakukan kebanyakan bar dan pub.

“Susah, sebab kami menyediakan khidmat hiburan karaoke, bukan makanan dan minuman. Kalau tak boleh menyanyi di karaoke, macam mana pelanggan nak datang?

“Berbeza dengan bar dan pub, sebab mereka menyajikan alkohol, jadi mereka hanya perlu ubah dapur supaya tukar perniagaan kepada restoran. Kesan yang mereka terima tidaklah seteruk kami,” jelasnya.

Thien mula bercadang untuk menjual sahaja pusat hiburannya, tetapi membatalkan niatnya itu selepas memikirkan jutaan ringgit yang dilaburkannya.

Beliau percaya pusat hiburan perlu dibenarkan beroperasi dengan penetapan prosedur operasi standard (SOP).

“Semasa tiga bulan kami dibenarkan buka, kami memang betul-betul patuh pada SOP, dan tidak ada kes jangkitan di premis kami.

“Saya harap kerajaan dapat faham situasi kami, betapa sukarnya untuk kami bertahan tahun lalu. Benarkan kami beroperasi semula,” rayu Thien.

Tambah beliau, banyak pengendali sudah menutup perniagaan mereka dan beralih ke bidang lain seperti perniagaan dalam talian.

Presiden Persatuan Peniaga Filem Dan Hiburan Sabah-Labuan Peter Chow berkata ramai pemilik pusat hiburan mengambil keputusan untuk menutup perniagaan ekoran mengalami kerugian yang teruk.

“Tetapi beralih kepada sektor lain juga bukanlah mudah kerana kebanyakan dari kami masih menunggu peluang,” kata Chow.

Terdapat antara 200 hingga 300 pusat hiburan di seluruh Sabah, termasuk pusat karaoke dan bar, tambahnya.

Presiden Persatuan Pengendali Pusat Hiburan Johor Tan Yam Meng pula memberitahu The Malaysian Insight, sebanyak 60% daripada perniaagaan pusat hiburan di negeri itu tutup terus.

Seperti juga Thien, Tan berkata kebanyakan pengendali kelab malam dan bar beralih kepada mengusahakan restoran.

“Ada yang menjaja, dan ada juga yang berniaga dalam talian.” – 25 Februari, 2021.  

Berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen