112 pengunjung pusat hiburan dikompaun RM580,000


POLIS Diraja Malaysia (PDRM) mengeluarkan kompaun sebanyak RM580,000 kepada 112 orang pengunjung sebuah pusat hiburan di Kuala Lumpur tengah malam tadi kerana melanggar prosedur operasi standard (SOP) Pelan Pemulihan Negara (PPN).

Ketua Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti Kuala Lumpur Azman Ayob berkata pihaknya juga mengeluarkan kompaun sebanyak RM25,000 kepada pemilik premis hiburan berkenaan.

“Kompaun ini dikeluarkan mengikut Peraturan 17 Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit PPN 3 2021 (Melakukan aktiviti terlarang dalam pub dan kelab malam) semasa tempoh Pelan Pemulihan Negara Fasa 3 bagi Kuala Lumpur,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Azman berkata, enam didapati positif dadah dan ditahan di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

“Polis juga merampas 43 botol minuman keras yang dibuka dan 37 botol masih belum dibuka mengikut Seksyen 76 Akta Eksais 1967.

“PDRM akan terus mempertingkatkan operasi seperti ini dari semasa ke semasa dalam merealisasikan usaha kerajaan menghentikan penularan wabak Covid-19 di negara kita,” katanya. – Bernama, 16 Oktober, 2021.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen