Polis keluar kompaun RM3,000 kepada ahli Parlimen berhimpun di Dataran Merdeka


Kalidevi Mogan Kumarappa

Sebahagian daripada ahli Parlimen pembangkang yang berhimpun di Dataran Merdeka pada 2 Ogos lalu.– Gambar fail The Malaysian Insight, 13 September, 2021.

POLIS sudah mula mengeluarkan kompaun kepada ahli Parlimen pembangkang yang berhimpun di Dataran Merdeka selepas mesyuarat Dewan Rakyat ditangguh dan jalan raya menuju ke Parlimen ditutup pada 2 Ogos lalu.

Ketua Polis Kuala Lumpur Azmi Abu Kassim berkata setakat ini 33 daripada lebih 100 ahli Parlimen yang disiasat sudah dikeluarkan notis kompaun berjumlah RM3,000 setiap seorang.

“Saya tidak ingat senarai nama tetapi yang pasti semuanya adalah ahli Parlimen,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Sekurang-kurangnya tiga ahli Parlimen mengesahkan menerima kompaun berkenaan dan memberitahu The Malaysian Insight mereka belum membuat keputusan tindakan selanjutnya.

Mereka diberi masa sehingga hujung bulan ini untuk membayar kompaun berkenaan atau berdepan pendakwaan di mahkamah.

The Malaysian Insight difahamkan pihak Kementerian Kesihatan dan polis akan membuka kaunter khas di Parlimen Rabu ini untuk ahli-ahli parlimen berkenaan merundingkan kompaun terhadap mereka.

Pada hari kejadian, Azmi berkata pihak polis akan memanggil 107 ahli Parlimen pembangkang untuk membantu siasatan kes perhimpunan yang melanggar peraturan pencegahan penyakit dan Akta Perhimpunan Aman 2012.

Mereka yang terlibat terdiri daripada ahli Parlimen pembangkang diketuai Ketua Pembangkang Anwar Ibrahim dan disertai antaranya bekas perdana menteri dan Ahli Parlimen Langkawi Dr Mahathir Mohamad.

Semasa perhimpunan di Dataran Merdeka, selain Anwar dan Dr Mahathir, beberapa pemimpin parti turut menyampaikan ucapan antaranya Presiden Amanah Mohamad Sabu, Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng, Presiden Warisan Mohd Shafie Apdal, dan Presiden penaja Muda Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

Mereka kemudian berarak menuju ke sekatan jalan raya di Bulatan Dato Onn, berdekatan ibu pejabat Bank Rakyat menuju masuk ke Jalan Parlimen.

Mereka membawa kain rentang bertulis “Mahiaddin dan Kabinet Letak Jawatan”, menggunakan ejaan rasmi nama bekas perdana menteri Muhyiddin Yassin.

Ahli Parlimen pembangkang bagaimanapun dihalang oleh anggota Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) berperisai daripada meneruskan perarakan.

Dalam sidang media pada hari kejadian, Azmi berkata polis membuat sekatan jalan raya di jalan-jalan menuju ke Parlimen selepas mendapat maklumat ada penganjuran perhimpunan haram atas nama Perhimpunan Solariti Bersama Anwar Ibrahim di Parlimen.

Sekatan jalan raya polis pada hari itu bukan untuk menghalang ahli Parlimen ke Parlimen sebaliknya untuk “menjaga keselamatan masyarakat dan juga ahli parlimen,” tambahnya.

Siasatan dibuat mengikut Seksyen 9 Akta Perhimpunan Aman 2012 bagi kesalahan perhimpunan tanpa notis, Seksyen 269 Kanun Keseksaan bagi kecuaian yang boleh merebakkan jangkitan dan membahayakan nyawa, serta Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 dan peraturan-peraturannya. – 13 September, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen