Komando, anggota polis antara 62 ditahan di pusat hiburan


SEORANG komando, 13 anggota dan dua anggota bomba antara 62 individu ditahan kerana melanggar prosedur standard operasi (SOP) Pelan Pemulihan Negara di sebuah premis hiburan di Puchong Selangor awal pagi semalam.

Ketua Polis Daerah Serdang Asisten Komisioner A A Anbalagan dalam kenyataan berkata serbuan dijalankan sepasukan pegawai dan anggota polis Selangor hasil maklumat orang ramai.

“Hasil pemeriksaan di dalam premis tersebut di dapati keadaan di dalam premis gelap dengan lampu berkelip-kelip serta muzik di mainkan dengan kuat. 

“Dalam masa yang sama terdapat para pelanggan sedang asyik minum minuman keras di atas meja,” katanya.

Anbalagan berkata mendapati seramai 62 individu berada dalam premis semasa serbuan, termasuk lapan individu yang bekerja sebagai pengurus serta pelayan pusat hiburan itu.

Selebihnya adalah 28 pelanggan lelaki dan 26 pelanggan wanita, dengan 16 daripada mereka adalah penjawat awam.

Hasil ujian saringan awal air kencing juga mendapati seorang lelaki positif dadah jenis methamphetamine, katanya.

“Sebanyak 62 kompaun telah di keluarkan di dalam pemeriksaan tersebut. Siasatan lanjut masih lagi di teruskan.”

Kes disiasat mengikut Seksyen 269 Kanun Keseksaan (KK), Seksyen 6 Enakmen Hiburan dan Tempat-Tempat Hiburan 1955 / Per 16 Peraturan Hiburan-Peraturan Hiburan dan Tempat-Tempat Hiburan (SEL)1996 / Sek 76 AKta Eksais 1976, katanya. – 5 September, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen