PENGUSAHA restoran yang menawarkan perkhidmatan jamuan dan bufet berharap acara sosial seperti majlis perkahwinan dan makan malam dapat diadakan semula sebaik sahaja Malaysia bergerak ke fasa endemik Covid-19.
Mereka berkata tempoh akhir tahun sebelum ini terbukti menjadi musim puncak untuk majlis perkahwinan sekali gus menjadikan waktu yang tepat untuk restoran meraih pendapatan setelah banyak kerugian ditanggung ketika perintah kawalan pergerakan.
Bagaimanapun, komen Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin di Twitter baru-baru ini mengenai majlis sosial akan menjadi antara sektor terakhir dibuka semula menimbulkan kebimbangan bahawa mereka bakal gulung tikar.
Presiden Persatuan Chef dan Pengusaha Restoran Koo Soo Malaysia, Wong Teu Hoon memberitahu The Malaysian Insight industri ini terpaksa bertahan sementara menunggu jangkitan Covid-19 reda.
“Kami telah berusaha sebaik mungkin untuk menyelesaikannya. Kami berharap selepas jumlah kes menurun, industri ini akan diberi kesempatan untuk menerima tempahan jamuan.
“Kami juga akan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) untuk pencegahan jangkitan,” katanya.
Wong menambah, orang ramai mungkin masih bimbang mengadakan jamuan ketika wabak ini, tetapi beberapa pelanggan menyatakan hasrat untuk menempahnya.
Beliau berkata, ini kerana industri terus menerima pertanyaan mengenai butiran jamuan.
“Kami akan berbincang dengan pelanggan terlebih dahulu tanpa mengenakan deposit sekiranya terdapat pelaksanaan kawalan pergerakan, kerana pembayaran balik lebih menyusahkan,” kata Wong.
Wong berkata, restoran tidak dapat mengambil sebarang tempahan jamuan sejak Jun dan beliau tidak dapat menggambarkan keadaan yang berlaku dalam industri ini.
Beliau menambah 95% dari pendapatan perniagaan restoran bergantung kepada jamuan perkahwinan, tetapi restoran pada masa ini masih bertahan daripada tempahan makan malam dan makanan segera.
“Setelah makan malam dibenarkan, perniagaan restoran sedikit pulih, bergantung kepada kawasan.
“Sebagai contoh, perniagaan di bandar-bandar besar seperti Kuala Lumpur boleh meningkat hingga 50%, tetapi paling tinggi hanya 30% di bandar kecil.
“Beberapa pengusaha perniagaan menerima tempahan untuk majlis ulang tahun kecil-kecilan bagi makan malam mulai bulan depan. Setiap meja terhad kepada sejumlah tempat duduk,” kata Wong. – 11 Oktober, 2021.
Berita penuh di sini.
Komen