HAD waktu operasi sehingga 8 malam bawah peraturan perintah kawalan pergerakan (PKP) 3.0 yang lebih ketat akan lebih merugikan, kata penghantar makanan dan pengusaha restoran.
Ini kerana pengusaha sudah teruk terjejas akibat penangan PKP kerana makan di premis dilarang, kata pemilik restoran dan tukang masak Muhammad Arif Asyraf Rusli.
Katanya, perubahan terbaru itu satu tamparan berganda selain berharap PKP ini adalah yang terakhir dikenakan di negara ini.
“Selama setahun, kami dapat banyak sangat perintah arahan. Ini adalah kali ketiga kita dikenakan PKP namun masih tidak ada tanda-tanda akan kembali baik.
“Saya lega ketika berada di bawah PKP Pemulihan (PKPP) tetapi kemudian kes meningkat lagi dan pemilik restoran seperti saya tak dapat terima pelanggan. Cuma bungkus bawa pulang, keuntungan kami tak begitu baik seperti makan di premis.
“Bila kerajaan benarkan restoran beroperasi hingga tengah malam, itu bagus, tetapi sekarang, kalau kita kena tutup pukul 8 malam, itu memang akan menjejaskan pendapatan,” kata wanita berusia 27 tahun yang menjual makanan Itali dan Mexico di Setia Alam.
Berkuat kuasa esok (Selasa), waktu perniagaan bermula pukul 8 pagi hingga 8 malam, kecuali farmasi yang boleh dibuka sehingga 10 malam.
Waktu yang dipendekkan adalah antara prosedur operasi standard (SOP) yang lebih ketat diumumkan pada Sabtu untuk menangani jangkitan harian tinggi Covid-19 yang telah melepasi 6,000 sejak beberapa hari ini.
“Tak semua restoran dibuka pada pukul 8 pagi. Beberapa restoran dibuka waktu tengah hari sementara yang lain pula tutup pukul 5 petang. Berapa jam sahaja yang kita ada,” kata Arif yang turut mengendalikan sebuah trak makanan.
Dia berharap kerajaan mempertimbangkan semula waktu operasi baharu dan membenarkan kedai makan dibuka hingga 10 malam.
Mereka yang lain menyatakan penutupan pada pukul 8 malam akan menimbulkan masalah bagi orang yang bekerja lewat, dan juga bagi penghantar makanan.
Dalam jenis perniagaan runcit lain, waktu yang lebih pendek juga boleh menyebabkan orang bersesak dan beratur panjang kerana mereka mahu cepat.
Seorang lagi pemilik restoran di Shah Alam, yang cuma mahu dikenali sebagai Azel, berharap Putrajaya mempertimbangkan semula waktu operasi dan membenarkan kedai makan beroperasi lebih dari pukul 8 malam, memandangkan langkah-langkah lain seperti penjarakan sosial sudah dilaksanakan.
“Bukan hanya untuk restoran, tetapi juga untuk orang ramai setelah bekerja yang memerlukan waktu untuk makan malam,” kata Azel yang menjual makanan Melayu.
“Dalam setiap PKP, perniagaan kami akan terjejas. Kami tak tahu betapa teruknya kami akan terjejas kali ini. “
Penghantar makanan, Faris Bakri, 24 tahun dari Kota Damansara meramalkan huru-hara sama dari pesanan tertangguh seperti yang dialami sebelum ini ketika waktu tutup restoran dipendekkan dalam PKP sebelum.
“Restoran akan buat pesanan terakhir mereka sekitar jam 7 malam dan akan ada pelanggan yang membuat pesanan pada saat terakhir. Ada kemungkinan pesanan akan tiba lewat dan pelanggan tak suka. – 24 Mei, 2021.
Komen