OPERATOR restoran memilih untuk menutup perniagaan sepanjang tempoh perintah kawalan pergerakan (PKP) 3.0 bagi mengurangkan kadar kerugian yang terpaksa ditanggung akibat pelanggan tidak dibenarkan makan di premis, kata pemain industri.
PKP dikuatkuasakan di seluruh negara bagi kali ketiga sejak 12 Mei lalu dan dijadualkan tamat pada 7 Jun. Di bawah penguatkuasaan kali ini, pelanggan tidak dibenarkan makan di premis dan hanya dibenarkan menyediakan makanan untuk dibungkus.
Pakar industri memberitahu The Malaysian Insight sebanyak 5%-10% restoran di seluruh negara ditutup sementara, kebanyakannya di Kuala Lumpur dan Johor.
Presiden Persatuan Tukang Masak dan Restoran Koo Soo Malaysia Wong Teu Hoon berkata memandangkan kadar sewa di Kuala Lumpur dan Johor 40% lebih tinggi berbanding tempat lain, banyak perniagaan sukar meneruskan operasi dan menanggung perbelanjaan tabahan.
“Bagi keluasan ruang yang sama, sewa di Kuala Lumpur dan Johor 40% lebih tinggi berbanding di Melaka dan Ipoh,” katanya.
Wong berkata sejak PKP pertama pada Mac tahun lalu, industry ini sedar perkhidmatan bungkus bawa pulang hanya mengisi 10% perniagaan itu dan ia tidak cukup untuk menampung gaji pekerja.
“Restoran terpaksa menanggung banyak perbelanjaan. Daripada terus beroperasi dalam keadaan begitu, lebih baik operasi dihentikan sementara bagi mengurangkan perbelanjaan dan kerugian.”
Presdein Persatuan Restoran Ku Su Shin Choong Hung Wilayah Persekutuan dan Selangor Lum Tuck Loy berkata perkhidmatan bungkus bawa pulang saja tidak menyumbang banyak kepada perniagaan, dan ia bergantung kepada kawasan kerana tidak semua restoran menyediakan khidmat itu.
“Jika restoran jauh dari pusat bandar, sukar untuk menyediakan perkhidmatan makanan bawa pulang,” katanya.
Lum berkata kebanyakan restoran memutuskan untuk menutup kedai hingga PKP 3.0 tamat dan menunggu pengumuman kerajaan sebelum mengambil langkah berikutnya.
Restoran Hee Lai Ton di Shaw Parade di Kuala Lumpur antara restoran yang tutup. – 21 Mei, 2021.
Berita penuh di sini.
Komen