KEDAI runcit, pasar mini, restoran, stesen minyak dan kedai serbaneka dibenarkan beroperasi mulai 6 pagi hingga 12 tengah malam berkuat kuasa esok, umum Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob.
Keputusan itu katanya dipersetujui Mesyuarat Jawatankuasa Khas Pengurusan Pandemik hari ini.
“Keputusan ini juga dilakukan berdasarkan penilaian risiko semasa yang dibuat oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN),” kata perdana menteri dalam kenyataan.
Ismail Sabri berkata Jawatankuasa Khas Pengurusan Pandemik juga membenarkan pembukaan pusat-pusat pelancongan, pulau-pulau atau kawasan pelancongan, serta aktiviti rentas negeri dengan syarat mencapai 90% populasi dewasa lengkap divaksin.
Kebenaran ini berdasarkan data dan analisis yang telah dibuat oleh KKM, tambahnya.
Beliau dalam pada itu turut mengumumkan spa, pusat kesihatan (wellness) dan urut kesihatan dibenarkan buka kepada pengunjung bermula 1 Oktober ini, dengan syarat operator perniagaan telah menerima dos lengkap vaksin Covid-19.
Pusat atau premis pelancongan seperti zoo, perladangan, akuarium, snorkeling, selam skuba, pelancongan memancing dan taman rimba juga dibenarkan beroperasi di semua fasa PPN mulai 1 Oktober. Bagaimanapun semua pengusaha dan pengunjung mesti lengkap divaksin, kata Ismail Sabri.
Menurutnya lagi, perniagaan dibenarkan beroperasi pada kapasiti 100% sekiranya majikan dan semua pekerja sudah menerima dua dos suntikan vaksin Covid-19.
Berkenaan warga asing yang tiba di pintu masuk negara pula, mereka perlu menanggung kos ujian RT-PCR, manakala bagi warganegara adalah percuma.
Akhir sekali, perdana menteri mengingatkan orang ramai supaya mematuhi SOP yang ditetapkan iaitu memakai pelitup muka, mengamalkan penjarakan fizikal dan sentiasa menjaga kebersihan.
“Kerajaan menyeru dengan kelonggaran-kelonggaran yang diberikan ini, ia dapat dimanfaatkan sepenuhnya oleh rakyat dengan penuh disiplin dan rasa tanggungjawab,” katanya. – 22 September, 2021.
Komen