Cuepacs mahu siasatan kes kematian Adib dimaklum kepada umum


Cuepacs menaruh harapan tinggi agar keadilan untuk Allahyarham dituntut kerana ia penting bagi memastikan kes seumpama itu tidak berulang pada masa akan datang, kata presidennya, Adnan Mat. – Gambar fail The Malaysian Insight, 9 Oktober 2021.

KONGRES Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) mahu dapatan daripada siasatan kes kematian Allahyarham Muhammad Adib Mohd Kassim oleh jawatankuasa khas, dimaklumkan kepada umum bagi menjamin ketelusan siasatan.

Presidennya Adnan Mat dalam kenyataan hari ini berkata Cuepacs menaruh harapan tinggi agar keadilan untuk Allahyarham dituntut kerana ia penting bagi memastikan kes seumpama itu tidak berulang pada masa akan datang terutamanya melibatkan penjawat awam yang bertugas demi kepentingan rakyat dan negara. 

“Dalam masa yang sama Cuepacs juga berharap isu ini tidak terus dijadikan modal politik atau isu perkauman demi kepentingan sesetengah pihak. Sebaliknya fokus utama perlu diberikan perhatian adalah bagi mencari pesalah terlibat, menuntut keadilan serta memberi jaminan perkara sama tidak berulang kepada mana-mana penjawat awam pada masa akan datang,” katanya.

Menurut Adnan, Cuepacs mewakili seluruh warga perkhidmatan awam terutama anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) menyambut baik keputusan kerajaan untuk mewujudkan jawatankuasa khas bagi memastikan siasatan menyeluruh, telus dan pembelaan sewajarnya terhadap kes Allahyarham.  

“Keputusan yang dibuat oleh kerajaan adalah sejajar dengan hasrat CUEPACS dan JBPM sendiri serta keseluruhan rakyat Malaysia agar kematian Muhammad Adib dapat diberikan keadilan sewajarnya mengikut lunas undang-undang negara,” katanya.  

Beliau berkata Cuepacs menghargai dan berterima kasih atas keputusan kerajaan dalam meneruskan siasatan kes kematian Allahyarham Muhammad Adib. 

Menurut Adnan kes melibatkan Allahyarham tidak boleh dipandang remeh dan pesalah terlibat harus dicari dan dikenakan tindakan undang-undang yang tegas.

Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob hari ini mengumumkan satu jawatankuasa khas akan diwujudkan bagi memastikan siasatan menyeluruh, telus dan pembelaan sewajarnya berhubung kes kematian Allahyarham. 

Kata Perdana Menteri, penubuhan jawatankuasa khas itu yang diputuskan dalam Mesyuarat Jemaah Menteri akan dipengerusikan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar.

Menurut Perdana Menteri, jawatankuasa khas itu diberi tempoh enam bulan bagi memperoleh dapatan dan cadangan untuk dibentangkan dalam mesyuarat Kabinet bagi tindakan susulan. 

Mengulas lanjut mengenai jawatankuasa itu, Adnan berkata Cuepacs berharap tempoh enam bulan yang diberikan kepada anggota jawatankuasa digunakan sepenuhnya bagi menyelesaikan segala persoalan timbul di sebalik kematian Allahyarham. – Bernama, 9 Oktober, 2021.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen