Polis cadang adakan inkues kedua kematian Adib


Anggota bomba Muhammad Adib Mohd Kassim mengalami kecederaan parah ketika bertugas etika insiden rusuhan di Kuil Sri Maha Mariamman Subang Jaya pada 27 November, 2018 yang menyebabkan kematiannya 21 hari kemudian. – Gambar Facebook, 4 Ogos, 2020.

POLIS mengesyorkan 12 suspek didakwa kerana merusuh dalam kes kematian anggota bomba Muhammad Adib Mohd Kassim, serta diadakan inkues kedua bagi menyiasat kematiannya, kata Menteri Dalam Negeri Hamzah Zainuddin.

Hamzah memberitahu Dewan Rakyat polis telah menghantar kertas siasatan kepada Jabatan Peguam Negara pada 23 Julai dengan cadangan ini.

“Polis sedang menjalankan siasatan berdasarkan arahan Pejabat Peguam Negara dan mengumpulkan bukti yang ada untuk dikemukakan semula kepada pihak pendakwaan. Kertas siasatan dirujuk semula dengan cadangan berikut.

“Menuduh 12 suspek di bawah Seksyen 143 Kanun Keseksaan kerana merusuh, dan mengadakan inkues semula untuk siasatan lanjut jika dipersetujui oleh Peguam Negara,” katanya dalam ucapan penggulungan perbahasan titah diraja.

Polis meneruskan siasatan kematian Adib berikutan inkues koroner pada 27 September tahun lalu yang memutuskan kematian anggota bomba berusia 24 tahun itu bukan disebabkan kemalangan, tetapi perbuatan jenayah melibatkan dua atau tiga individu yang tidak dikenali.

Adib mengalami kecederaan serius ketika rusuhan di Kuil Sri Maha Mariamman di Subang Jaya pada 27 November, 2018 dan meninggal dunia 21 hari kemudian di Institut Jantung Negara.

Inkues kematiannya menyaksikan bukti bertentangan yang dibentangkan oleh ahli patologi forensik.

Sementara itu, keluarga Adib dilaporkan merancang untuk menyaman pihak polis dan menuntut pampasan kerana kegagalan mereka mengawal rusuhan yang membawa kepada kematian. – 4 Ogos, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen