Keputusan tentang kematian Adib hari ini


Noel Achariam

Rakyat negara ini ternanti-nanti keputusan mahkamah berkenaan punca kematian anggota bomba Muhammad Adib Mohd Kassim yang maut selepas bertugas dalam rusuhan di kuil Sri Maha Mariamamam di Subang Jaya, USJ 25, tahun lalu. – Gambar fail The Malaysian Insight, 27 September, 2019.

KEPUTUSAN berkenaan apa yang berlaku terhadap anggota bomba Muhammad Adib Mohd Kassim ketika rusuhan di kuil Sri Maha Mariamamam di Subang Jaya, USJ 25, dijangka diketahui hari ini.

Koroner Rofiah Mohamad akan mendedahkan adakah Adib meninggal dunia akibat kecederaan diserang atau kerana kemalangan.

Ada dua kemungkinan bagaimana Adib mengalami kecederaan itu – beliau dikeroyok oleh sekumpulan perusuh yang sedang marah dan satu lagi ialah, beliau dilanggar jentera bomba yang sedang mengundur.

Adib yang bertugas di Jabatan Bomba dan Penyelamat Subang Jaya meninggal dunia tahun lalu akibat kecederaan dialami ketika rusuhan pada 27 November di kuil berkenaan.

Sehari sebelum itu, sekumpulan lelaki sekurang-kurangnya 50 orang bersenjatakan kayu, besi dan parang, merempuh kuil berkenaan. Ketika insiden itu berlaku, kira-kira 100 penganut ada di situ mengawal kawasan kuil.

Jawatankuasa pentadbiran kuil dan pemaju One City Development dalam perbalahan berhubung tanah di mana kuil itu berada.

Peguam pemaju dituduh membayar 50 lelaki untuk “selesaikan isu” di kuil Hindu itu, tetapi tindakan berkenaan akhirnya mencetuskan rusuhan. Pemaju menafikan semua tuduhan itu.

Penyerang juga dikatakan menahan penganut sebagai tebusan, memukul mereka dan merosakkan sebahagian kuil itu. Mereka juga dituduh mencemar kuil dengan berbogel di depan dewa-dewa di kuil itu.

Insiden itu menjadi viral di media sosial dan menyebabkan ribuan orang datang ke kuil berkenaan untuk melindunginya, menambah kebimbangan akan berlaku rusuhan kaum.

Adib meninggal dunia di Institut Jantung Negara, Kuala Lumpur pada 27 November. Susulan itu, Menteri Dalam Negeri Muhyiddin Yassin mengumumkan inkues akan diadakan untuk menentukan punca kecederaannya.

Inkues bermula di Mahkamah Koroner Shah Alam pada 11 Februari. Koroner mendengar keterangan 30 saksi termasuk anggota bomba, doktor, saksi dan pakar forensik.

Pada prosiding itu, pakar bedah kardiotorasik Subang Jaya Medical Centre (SJMC) Dr S. Anand berkata Adib mengalami kecederaan daripada benda tumpul di dadanya, dan kemungkinan ia bukan daripada serangan kerana Adib tidak ada kecederaan lain.

Seorang lagi saksi, pakar forensik Hospital Kuala Lumpur Dr Ahmad Hafizam Hasmi berkata bedah siasat Adib menunjukkan kecederaannya bukan daripada sebarang serangan dan kemungkinan disebabkan kenderaan.

Bagaimanapun, pakar forensik berpangkalan di UK, Dr Shahrom Abd Wahid ada kemungkinan Adib ditarik keluar dari dalam van EMRS di mana beliau berada ketika itu.

Keluarga Adib turut memfailkan prosiding komital terhadap Peguam Negara Tommy Thomas kerana didakwa menghina mahkamah susulan kenyataan medianya dan afidavit difailkan oleh bekas pegawai pengendali Hamdan Hamzah pada April.

Kenyataan media itu diedarkan pada 28 Mei berkaitan penarikan diri peguam Syazlin Mansor daripada mewakili Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan dan Jabatan Bomba dan Penyelamat dalam inkues itu.

Dalam afidavitnya, Hamdan menyatakan kecederaan Adib bukan disebabkan perusuh di depan kuil Sri Mariamman di Subang Jaya pada 27 November.

Bagaimanapun, pada 27 Julai, Thomas dalam afidavitnya berkata beliau tidak berjumpa Hamdan, dan semua afidavit yang difailkan berkaitan inkues Adib bukan di bawah arahannya. – 27 September, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen