KELUARGA arwah Muhammad Adib Mohd Kassim kecewa dengan kenyataan Ketua Polis Negara (KPN) Abdul Hamid Bador yang mencadangkan agar punca kematian anggota bomba itu dikaji semula.
Dalam satu hantaran di Facebook, keluarga Muhammad Adib berkata mereka berharap polis mampu menjalankan siasatan secara bersungguh-sungguh dan telus bagi mengenalpasti pembunuh Adib susulan keputusan Mahkamah Koroner tahun lepas.
“Kami amat kesal dengan beberapa bahagian kenyataan yang dikeluarkan oleh KPN pada 10 Julai 2020 yang jelas tidak menghormati dan bercanggah dengan keputusan Mahkamah Koroner tersebut.
“Cubaan oleh KPN untuk menidakkan kewujudan ‘dying declaration’ dan menuduh kononnya ia baru ditimbulkan sekarang, serta mempersoalkan pula seolah-olah ianya diada-adakan, adalah satu lagi kenyataan tidak bertanggungjawab,” kata mereka menerusi satu kenyataan yang dikeluarkan oleh peguam mereka.
Dua hari lalu, Abdul Hamid berkata beliau akan mencadangkan kepada Kementerian Dalam Negeri (KDN) supaya menubuhkan pasukan khas bagi mengkaji semula keterangan saksi berhubung kematianMuhammad Adib.
Katanya cadangan pasukan kajian semula itu dibuat susulan keterangan saksi yang diambil selepas Mahkamah Koroner memutuskan punca kematian arwah adalah akibat perbuatan jenayah.
Beliau berkata siasatan itu akan menumpukan keterangan saksi.
Beliau berkata, susulan arahan Koroner, polis merakam semula keterangan 30 saksi yang sebelum ini tampil ketika ikues kematian Muhammad Adib termasuk dua anggota bomba yang berada dekat dengan arwah ketika kejadian, serta 52 saksi baharu.
“Dua anggota bomba yang berada dekat dengan arwah secara konsisten mengatakan mereka tidak nampak siapa yang memukul dan mencederakan Muhammad Adib.
“Terdapat juga percanggahan keterangan daripada dua pakar patologi iaitu seorang yang dilantik keluarga dan seorang daripada Hospital Kuala Lumpur (HKL) yang menjalankan bedah siasat,” katanya pada sidang media khas di Bukit Aman dua hari lalu.
Pada September 2019, Mahkamah Koroner memutuskan bahawa kematian Muhammad Adib disebabkan perbuatan jenayah oleh dua atau tiga individu yang tidak dikenali.
Adib, 24, yang merupakan anggota unit bomba dari Stesen Bomba dan Penyelamat Subang Jaya, mengalami kecederaan parah ketika bertugas pada malam rusuhan di Kuil Sri Maha Mariamman pada 27 November 2018.
Beliau meninggal dunia 21 hari kemudian pada 17 Disember di Institut Jantung Negara.
Mengulas lanjut, keluarga Muhammad Adib berkata pihaknya menolak sebarang keperluan untuk siasatan semula punca kematian kononnya melalui satu “pasukan kajian semula” memandangkan keputusan Mahkamah Koroner tidak pernah dicabar oleh mana-mana pihak melalui proses rayuan atau semakan yang sah.
“Mahkamah Koroner telah pun memberikan dapatannya tentang punca dan sebab kematian arwah Muhammad Adib.
“Maka adalah kewajipan pihak polis untuk menjuruskan siasatan bagi mencari siapakah dia “dua atau lebih orang” yang menyebabkan kematian arwah Adib, dan bukannya mempersoalkan semula punca kematiannya lagi sama ada dibunuh atau tidak, sebab hal tersebut telah pun selesai diputuskan Mahkamah.”
Keluarga Muhammad Adib berkata adalah tidak adil untuk KPN merumuskan kononnya tiada keterangan yang dapat mengaitkan arwah dibunuh, hanya kerana dua orang pegawai bomba yang bersama mangsa pada malam kejadian mengatakan mereka tidak nampak apa yang berlaku.
“Lebih-lebih lagi tidak munasabah untuk KPN cuba menggambarkan kononnya Muhammad Adib tidak diserang kerana tiada kesan kecederaan mempertahankan diri pada tubuhnya.
“Dakwaan-dakwaan ini sudah pun dijawab dengan jelas di dalam inkues dan tindakan KPN menimbulkan semula perkara ini menunjukkan PDRM tidak meneliti dan tidak faham kronologi kejadian kes ini, berdasarkan keterangan-keterangan dan bukti-bukti yang ada.” – 12 Julai, 2020.
Komen