Mahkamah digesa percepat komital terhadap peguam negara


Pada 16 Julai lepas, bapa Muhammad Adib Mohd Kassim memfailkan permohonan perintah komital terhadap Peguam Negara Tommy Thomas kerana menghina mahkamah berkaitan prosiding inkues bagi mencari punca kematian anaknya. – Gambar fail The Malaysian Insight, 21 Oktober, 2019.

MAHKAMAH Koroner di Shah Alam diminta untuk mempercepatkan prosiding permohonan komital (menghina mahkamah) berkaitan inkues kematian anggota bomba Muhammad Adib Mohd Kassim yang difailkan terhadap Peguam Negara Tommy Thomas.

Peguam yang mewakili keluarga Adib, Mohamed Haniff Khatri Abdulla berkata ia kerana kes itu berunsur jenayah selain prinsip undang-undang pada masa kini yang tidak memberi kelonggaran pada  mana-mana kes seperti itu ditangguhkan tanpa sebab yang kukuh.

“Prinsip undang-undang sekarang tidak memberikan kelonggaran untuk menangguhkan mana-mana prosiding (kes) semena-mena.

“Ia perlu ada hujah yang ketat (untuk tangguh), seperti kes Najib Razak baru-baru ini di mana mahkamah mendapati kes yang berunsur jenayah tidak boleh ditangguhkan dan kes ini (komital) walaupun bukan 100% jenayah tetapi ia tetap mempunyai unsur jenayah, jadi jika rujuk pada kes Najib tiada penangguhan boleh dibuat dan sepatutnya juga kes (komital) ini tidak ditangguhkan,” katanya ketika ditemui pemberita selepas sesi hujahan berhubung permohonan penangguhan prosiding komital tersebut.

Mengulas lanjut, Haniff berkata pihaknya juga tidak mahu kes komital itu ditangguhkan kerana kes tersebut mendapat perhatian semua pihak termasuk masyarakat.

“Kalau kita nak lengahkan kes ini payahlah. Bagi kami, mahkamah sepatutnya melaksanakan budi bicara dengan menolak penangguhan prosiding komital ini,” katanya.

Terdahulu, dalam sesi hujahan di hadapan Koroner Rofiah Mohamad, Peguam Kanan Persekutuan S. Narkunavathy, berkata mahkamah mempunyai budi bicara mutlak untuk menangguhkan prosiding seperti yang dipohon oleh responden.

Mahkamah kemudian menetapkan 4 November ini sebagai tarikh keputusan permohonan penangguhan komital dihadapi peguam negara.

Sebelum ini, Tommy menyerahkan afidavit untuk menggantung prosiding perbicaraan komital tersebut berikutan beliau masih belum membuat keputusan sama ada akan memberikan keterangan di dalam kandang saksi ataupun melalui afidavit dalam perbicaraan komital dihadapinya.

Pada 16 Julai lepas, bapa Adib, Mohd Kassim Abdul Hamid memfailkan permohonan perintah komital terhadap Tommy kerana menghina mahkamah berkaitan prosiding inkues bagi mencari punca kematian anaknya.

Permohonan sebelah pihak (ex-parte) itu dibuat melalui Tetuan Mohd Zubir Embong & Associate di Pejabat Pendaftar Mahkamah Koroner.

Adib, 24, yang juga anggota Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) Balai Bomba dan Penyelamat Subang Jaya, cedera parah dalam rusuhan di tapak Kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25, Subang Jaya pada 27 November tahun lepas dan menghembuskan nafas terakhir pada 17 Disember di Institut Jantung Negara. – Bernama, 21 Oktober, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen