Pegawai SPRM terlibat kes Hasanah perlu cuti, kata pemantau rasuah


Kalidevi Mogan Kumarappa

C4 berkata tiga pegawai SPRM yang sedang disiasat perlu bercuti supaya siasatan lebih telus dalam isu salah guna kuasa dan penyelewengan dapat dijalankan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 23 September, 2021.

SEMUA pegawai agensi anti rasuah yang terlibat dalam siasatan kes bekas ketua pengarah agensi risikan negara Hasanah Ab Hamid perlu bercuti buat sementara, kata badan pemantau.

Pusat Memerangi Rasuah dan Kronisme (C4) menegaskan pegawai berkenaan perlu bercuti supaya siasatan lebih telus dalam isu salah guna kuasa dan penyelewengan dapat dijalankan.

Pengarah eksekutif C4 Cynthia Gabriel merujuk kes melibatkan tiga pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang kini direman.

“Kami ingin menggesa pemimpin SPRM yang ditugaskan untuk menyiasat kes bekas ketua perisik ini untuk bercuti bagi memastikan siasatan yang menyeluruh dan bebas.

“Integriti SPRM terjejas teruk akibat penahanan tiga pegawainya,” katanya yang turut menggesa agar badan tersebut dirombak untuk memastikan tiada campur tangan dalam siasatan.

Hasanah merupakan bekas ketua pengarah Organisasi Perisikan Luar Malaysia (MEIO) yang didakwa bagi kes pecah amanah bernilai RM50.4 juta melibatkan dana kerajaan.

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 12 April lalu melepaskan tanpa membebaskannya selepas pendakwaan memutuskan untuk tidak akan meneruskan pendakwaan terhadapnya.

SPRM pada Isnin mengesahkan tiga pegawainya ditahan bagi siasatan dalaman berhubung dakwaan salah guna kuasa dan penyelewengan dalam urusan kes itu.

SPRM melalui satu kenyataan memaklumkan, ketiga-tiga pegawai terbabit sudah dihadapkan ke Mahkamah Majistret untuk permohonan reman selama enam hari bermula 14 September lalu.

Pemantau rasuah seperti C4 bagaimanapun menganggapnya sebagai satu bahan jenaka kerana siasatan ke atas kakitangan berkenaan dilakukan sendiri oleh SPRM.

“Inilah sebabnya mengapa kita sangat memerlukan Parlimen untuk mewujudkan Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salah Laku Polis (IPCMC).

“Selain itu, kepimimpinan SPRM juga harus bertanggungjawab, untuk menebus kembali kepercayaan rakyat kepada agensi itu,” kata Gabriel.

Sikap berbeza ditunjukkan Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW) yang yakin dan percaya dengan komitmen SPRM dalam menyiasat pegawainya sendiri.

Presidennya, Jais Abdul Karim berkata langkah tersebut perlu mendapat sokongan penuh oleh setiap lapisan masyarakat.

“Agensi seperti SPRM pastinya tidak akan berkompromi jika anggota mereka disyaki terlibat walau dalam apa jenis jenayah sekalipun.

“Anggota tersebut perlu disiasat dengan teliti dan dihukum jika benar-benar didapati bersalah,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Menurut Jais, penahanan tiga anggota itu pasti memberikan kesan yang mendalam kepada semua anggota di agensi penguatkuasaan bahawa mereka tidak “kebal”.

“Orang ramai juga perlu sedar pegawai agensi penguatkuasa juga bukanlah malaikat yang tidak pernah berbuat salah atau maksum daripada sebarang kesalahan.

“Kita juga perlu sedar terdapat lebih 180,000 pegawai pelbagai agensi penguatkuasaan di seluruh negara.

“Namun jika hanya segelintir yang tersalah langkah, ini bukanlah bermakna semuanya rosak dan tidak amanah,” katanya.

Jais berkata SPRM juga diselia Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah (LPPR), Jawatankuasa Khas Mengenai Rasuah (JKMR) dan Jawatankuasa Aduan (JKA).

Selain itu ia turut ditadbir Panel Penilaian Operasi (PPO) serta Panel Perundingan dan Pencegahan Rasuah (PPPR).

“Kelima-lima badan khas ini diwujudkan bertujuan untuk memastikan ketelusan dan akauntabiliti dalam keseluruhan perjalanan SPRM.

“Mekanisme ini akan dapat membantu memenuhi harapan masyarakat terhadap kebebasan, kecekapan, keberkesanan, ketelusan dan akauntabiliti SPRM dalam pelaksanaan kewajipan undang-undang yang ditetapkan,” katanya.

Beliau turut menegaskan tindakan tatatertib dan perundangan yang tegas mesti diambil terhadap mereka yang terbabit walaupun perkhidmatan mereka diperlukan untuk negara ini. – 23 September, 2021.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen