Speaker tolak usul bahas kes penyiasat Hasanah


SPRM pada Isnin mengesahkan tiga pegawainya ditahan bagi dakwaan salah guna kuasa dan penyelewengan melibatkan bekas ketua pengarah agensi risikan negara Hasanah Abdul Hamid. – Gambar fail The Malaysian Insight, 23 September, 2021.

SPEAKER Dewan Rakyat menolak usul untuk membahaskan isu dakwaan salah guna kuasa dan penyelewengan pegawai antirasuah dalam satu kes yang disiasat agensi itu.

Azhar Azizan Harun dalam satu jawapan kepada Ahli Parlimen Lembah Pantai Fahmi Fadzil berkata, isu berkenaan tidak perlu disegerakan.

“... Ia tidak selari dengan peruntukan Peraturan Mesyuarat 18(1) di mana apa-apa usul di bawahnya hanya untuk merundingkan perkara yang dinyatakan dalam peraturan tersebut,” kata Azhar.

Katanya isu berkenaan juga sudahpun dibangkitkan dan dijawab oleh menteri dalam negeri semalam dan akan dijawab selanjutnya pada hari ini oleh menteri hal ehwal undang-undang.

“Oleh yang demikian, saya berpendapat bahawa isu yang berhormat bukan bersifat penting atau yang perlu disegerakan,” katanya.

SPRM pada Isnin mengesahkan tiga pegawainya ditahan bagi dakwaan salah guna kuasa dan penyelewengan melibatkan bekas ketua pengarah agensi risikan negara Hasanah Abdul Hamid.

Hasanah merupakan bekas ketua pengarah Organisasi Perisikan Luar Malaysia (MEIO) yang didakwa bagi kes pecah amanah bernilai RM50.4 juta melibatkan dana kerajaan.

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 12 April lalu melepaskan tanpa membebaskannya selepas pendakwaan memutuskan untuk tidak akan meneruskan pendakwaan terhadapnya.

SPRM kemudian pada Isnin lalu mengesahkan tiga pegawainya ditahan bagi siasatan dalaman berhubung dakwaan salah guna kuasa dan penyelewengan dalam urusan kes itu.

SPRM melalui satu kenyataan memaklumkan, ketiga-tiga pegawai terbabit sudah dihadapkan ke Mahkamah Majistret untuk permohonan reman selama enam hari bermula 14 September lalu.

Pemantau rasuah seperti C4 bagaimanapun menganggapnya sebagai satu bahan jenaka kerana siasatan ke atas kakitangan berkenaan dilakukan sendiri oleh SPRM.

“Inilah sebabnya mengapa kita sangat memerlukan Parlimen untuk mewujudkan Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salah Laku Polis (IPCMC).

“Selain itu, kepimimpinan SPRM juga harus bertanggungjawab, untuk menebus kembali kepercayaan rakyat kepada agensi itu,” kata Gabriel.

Sikap berbeza ditunjukkan Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW) yang yakin dan percaya dengan komitmen SPRM dalam menyiasat pegawainya sendiri.

Presidennya Jais Abdul Karim berkata langkah tersebut perlu mendapat sokongan penuh oleh setiap lapisan masyarakat.

“Agensi seperti SPRM pastinya tidak akan berkompromi jika anggota mereka disyaki terlibat walau dalam apa jenis jenayah sekalipun.

“Anggota tersebut perlu disiasat dengan teliti dan dihukum jika benar-benar didapati bersalah,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Menurut Jais, penahanan tiga anggota itu pasti memberikan kesan yang mendalam kepada semua anggota di agensi penguatkuasaan bahawa mereka tidak “kebal”.

“Orang ramai juga perlu sedar pegawai agensi penguatkuasa juga bukanlah malaikat yang tidak pernah berbuat salah atau maksum daripada sebarang kesalahan.

“Kita juga perlu sedar bahawa terdapat lebih daripada 180,000 pegawai pelbagai agensi penguatkuasaan di seluruh negara.

“Namun jika hanya segelintir yang tersalah langkah, ini bukanlah bermakna semuanya rosak dan tidak amanah,” katanya.

Jais berkata, SPRM juga diselia Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah (LPPR), Jawatankuasa Khas Mengenai Rasuah (JKMR) dan Jawatankuasa Aduan (JKA).

Selain itu ia turut ditadbir Panel Penilaian Operasi (PPO) serta Panel Perundingan dan Pencegahan Rasuah (PPPR).

“Kelima-lima badan khas ini diwujudkan bertujuan untuk memastikan ketelusan dan akauntabiliti dalam keseluruhan perjalanan SPRM.

“Mekanisme ini akan dapat membantu memenuhi harapan masyarakat terhadap kebebasan, kecekapan, keberkesanan, ketelusan dan akauntabiliti SPRM dalam pelaksanaan kewajipan undang-undang yang telah ditetapkan,” katanya.

Beliau turut menegaskan, tindakan tatatertib dan perundangan yang tegas mesti diambil terhadap mereka yang terbabit walaupun perkhidmatan mereka diperlukan untuk negara ini. – 23 September, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen