Bekas ketua perisik dilepas tanpa dibebas kes pecah amanah RM50 juta


Hasanah telah dituduh menyalahgunakan dana kerajaan sebanyak RM50 juta yang dipertanggungjawabkan kepadanya antara 30 April dan 9 Mei 2018. – Gambar fail The Malaysian Insight, 12 April, 2021.

BEKAS ketua perisik, Hasanah Abdul Hamid telah dilepaskan tanpa dibebaskan oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur dalam kes pecah amanah bernilai RM50.4 juta melibatkan dana kerajaan.

Hakim Ahmad Shahrir Mohd Salleh membuat keputusan itu setelah pihak pendakwaan memberitahu mahkamah pihaknya tidak akan meneruskan pendakwaan terhadapnya.

Hasanah telah dituduh menyalahgunakan dana kerajaan sebanyak RM50 juta yang dipertanggungjawabkan kepadanya antara 30 April dan 9 Mei 2018.

Pada 25 Oktober 2018, Hasanah mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen atas tuduhan CBT yang melibatkan AS$12.1 juta (RM50.4 juta) milik kerajaan Malaysia.

Hasanah, dalam jawatannya sebagai penjawat awam, didakwa melakukan kesalahan itu di pejabat Ketua Pengarah, Bahagian Penyelidikan, Jabatan Perdana Menteri (JPM), Kompleks JPM, Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan di Putrajaya antara 30 April dan 9 Mei, 2018.

Tuduhan itu diletakkan di bawah Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun, sebatan, dan denda jika sabit kesalahan.

Dalam membenarkan pembebasan tersebut, Ahmad Shahrir menyatakan rancangan pendakwaan untuk mendakwa Hasanah pada masa depan atas perkara itu.

“Dalam kes ini, yang arif DPP, dalam memohon untuk tidak mendakwa tertuduh lebih lanjut, menunjukkan bahawa tertuduh akan dibawa untuk menghadapi tuduhan di kemudian hari. Yang arif DPP juga menjelaskan tentang perkembangan baharu yang ditemui.

“Dalam keadaan itu, saya dapati pihak pendakwaan telah memberikan hujah yang baik dan sah dalam menjalankan kuasanya di bawah undang-undang untuk tidak mendakwa tertuduh lebih lanjut. Saya juga dapati perkembangan baharu seperti yang dijelaskan oleh yang arif DPP adalah adalah halangan sementara kerana yang arif DPP mengesahkan bahawa tertuduh akan dihadapkan tuduhan itu di masa depan.

“Oleh itu, saya dengan ini memerintahkan agar tertuduh diberi pelepasan tanpa dibebaskan (DNAA),” kata hakim. – 12 April, 2021.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen