Bekas CEO, isteri didakwa pecah amanah, kemuka tuntutan palsu RM145 juta


SEORANG bekas ketua pegawai eksekutif sebuah syarikat pengeluar sarung tangan getah dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di Shah Alam hari ini atas 11 pertuduhan pecah amanah dan tuntutan palsu bernilai RM145.4 juta, antara tahun 2013 hingga 2018.

Tertuduh, Lee Son Hong, 63, mengaku tidak bersalah atas kesemua pertuduhan berkenaan yang dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Rozilah Salleh.

Mengikut tiga pertuduhan mengemukakan tuntutan palsu, Lee didakwa mengeluarkan invois bayaran atas nama Tower Success Group Ltd bernilai keseluruhan RM8.4 juta bagi pembekalan mesin pembuatan sarung tangan yang sebenarnya tidak pernah dibuat.

Dia didakwa melakukan perbuatan tersebut di pejabat syarikat pengeluar sarung tangan getah itu di Kawasan Perindustrian Bandar Baru Salak Tinggi, Sepang antara 27 Mac hingga 22 Disember 2015.

Bagi ketiga-tiga pertuduhan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24 (2) akta sama yang jika sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana lebih tinggi.

Bagi lapan lagi pertuduhan, Lee didakwa melakukan pecah amanah bernilai keseluruhan RM137 juta di lokasi sama antara 12 Disember 2013 hingga 18 Januari 2018 mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara tidak melebihi 20 tahun serta sebat dan boleh dikenakan denda.

Turut mengaku tidak bersalah di mahkamah sama adalah pengarah syarikat pengeluar sarung tangan getah berkenaan yang juga isteri Lee, Too Sooi Keng, 63, atas tujuh pertuduhan kerana bersubahat dengan suaminya melakukan pecah amanah dana syarikat bernilai keseluruhan RM108 juta.

Dia dituduh melakukan perbuatan tersebut di pejabat syarikat berkenaan di Kawasan Perindustrian Bandar Baru Salak Tinggi, Sepang antara 12 Disember 2013 hingga 18 Januari 2018.

Too didakwa mengikut Seksyen 109 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara tidak melebihi 20 tahun dengan sebat dan boleh dikenakan denda.

Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Ahmad Akram Gharib dan Mohd Mukhzany Fariz Mohd Mokhtar masing-masing menawarkan jaminan sebanyak RM2 juta untuk Lee dan RM1.5 juta ke atas Too dengan seorang penjamin selain perlu menyerahkan pasport kepada mahkamah.

Peguam kedua-dua tertuduh, P.G Cyril dan Nur Aminahtul Mardiah Md Nor memohon mahkamah mengurangkan jumlah jaminan kerana anak guam mereka sudah berusia serta pendapatan terjejas akibat pandemik Covid-19 malah memberikan kerjasama baik semasa siasatan dijalankan.

Mahkamah kemudian menetapkan wang jaminan RM1.5 juta dengan seorang penjamin tempatan untuk setiap tertuduh selain perlu menyerahkan pasport kepada mahkamah.

Sebutan semula kes untuk kedua-dua tertuduh ditetapkan pada 4 Januari 2021. – Bernama, 24 November, 2020.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen