Pendakwaan mohon bicara kes bekas KP perisikan secara tertutup


Bekas ketua pengarah Organisasi Perisikan Luar Malaysia Hasanah Abdul Hamid dibicarakan atas pertuduhan pecah amanah wang kerajaan berjumlah RM50.4 juta. – Gambar fail The Malaysian Insight, 21 September, 2020.

PIHAK pendakwaan akan memohon supaya perbicaraan kes bekas ketua pengarah Organisasi Perisikan Luar Malaysia (MEIO) Hasanah Abdul Hamid yang menghadapi pertuduhan pecah amanah wang kerajaan berjumlah RM50.4 juta, dijalankan secara tertutup bagi 15 saksi kerana ia melibatkan isu keselamatan negara.

Timbalan Pendakwa Raya Muhamad Iskandar Ahmad memaklumkan kepada Pesuruhjaya Kehakiman Mahkamah Tinggi Ahmad Shahrir Mohd Salleh bahawa pihak pendakwaan akan memfailkan permohonan itu secepat mungkin dan memohon supaya tarikh bicara pada 5 hingga 22 Oktober ini dikekalkan.

“Pihak pendakwaan hari ini telah menyerahkan 22 dokumen tambahan kepada pihak pembelaan dan saya ingin memaklumkan kepada mahkamah bahawa pendakwaan akan mengemukakan permohonan supaya pendengaran kes ini dijalankan secara tertutup,” katanya semasa pengurusan kes itu hari ini yang turut dihadiri peguam Hasanah, Hamdan Hamzah. 

Ahmad Shahrir menetapkan 5 Oktober untuk pendengaran permohonan tersebut dan mengarahkan kedua-dua pihak-pihak memfailkan hujahan bertulis pada atau sebelum 30 September ini.

Ketika ditemui pemberita selepas prosiding itu, Muhamad Iskandar berkata pihaknya memohon perbicaraan didengar secara tertutup bagi keterangan 15 saksi atas alasan melibatkan isu-isu kepentingan dan keselamatan negara.

“Untuk semua saksi dalam kes ini ada 37 orang,” katanya.

Perbicaraan kes tersebut telah ditetapkan pada Oktober ini iaitu bermula 5, 6 dan 8; 12 hingga 15; dan 19 hingga 22.

Pada 25 Oktober 2018, Hasanah mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen atas pertuduhan sebagai seorang penjawat awam iaitu ketua pengarah Penyelidikan Jabatan Perdana Menteri melakukan pecah amanah wang berjumlah AS$12.1 juta (RM50.4 juta) milik kerajaan Malaysia.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di pejabat Ketua Pengarah, Bahagian Penyelidikan, Jabatan Perdana Menteri (JPM), Kompleks JPM, Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan di Putrajaya antara 30 April hingga 9 Mei 2018. 

Wanita itu dituduh mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan serta denda, jika sabit kesalahan. – Bernama, 21 September, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen