Pemantau rasuah gesa siasat semula pemberian permit bawa masuk kenderaan


Siasatan PAC mengesahkan kebimbangan C4 mengenai pemberian kontrak tidak telus kontrak VEP. – Gambar fail The Malaysian Insight, 13 November, 2020.

PUSAT Memerangi Rasuah dan Kronisma (C4) menggesa badan antirasuah meneruskan siasatan berhubung kontrak permit masuk kenderaan asing (VEP) yang diberikan kepada syarikat kroni Barisan Nasional (BN).

Pendedahan Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) baru-baru ini mengesahkan kebimbangannya terdapat urus niaga tidak telus dan pengaruh politik dalam projek itu, katanya.

“Siasatan PAC mengenai pemberian kontrak VEP menunjukkan memang ada pengaruh politik dalam pemberian kontrak bernilai RM145 juta kepada TCSens Sdn Bhd, dengan Ahli Parlimen Tanjung Piai Wee Jeck Seng adalah pemegang saham sebanyak 25%.

“Juga didapati Wee adalah anggota jawatankuasa pemilih pusat di MCA, sementara menteri pengangkutan ketika itu Liow Tiong Lai adalah presiden MCA,” kata C4 dalam satu kenyataan hari ini.

C4 berkata Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mesti menyiasat mengenai pemberian kontrak VEP, di samping individu lain yang mungkin terlibat.

Ia juga mahu proses perolehan diperbaiki segera, dengan telus bagi mencegah sebarang perbuatan dan kemungkinan rasuah. – 13 November, 2020.

Berita penuh di sini



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen