3 pegawai SPRM ditahan, bantu siasatan kes salah guna kuasa


SPRM tahan tiga pegawainya bagi membantu siasatan kes salah guna kuasa dan penyelewengan dalam urusan kes terhadap seorang bekas ketua jabatan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 20 September, 2021.

SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyiasat tiga pegawai kanannya berkenaan tuduhan salah guna kuasa dan penyelewengan dalam urusan kes terhadap seorang bekas ketua jabatan.

Sebagai sebahagian daripada siasatan yang sedang dilakukan, tiga pegawai terbabit ditahan reman enam hari dari 14 hingga 19 September.

SPRM dalam satu kenyataan hari ini berkata perintah reman diperoleh dari Mahkamah Majistret Putrajaya.

“SPRM ingin menegaskan tidak akan berkompromi atau melindungi mana-mana pegawainya yang terlibat dalam sebarang perbuatan jenayah serta akan mengambil tindakan sewajarnya sekiranya perbuatan itu benar berlaku.

“Siasatan menyeluruh sedang dijalankan dan SPRM berharap semua pihak tidak membuat sebarang spekulasi berhubung perkara ini kerana ia akan menjejaskan siasatan,” katanya.

Baru-baru ini, sebuah blog mendedahkan badan anti rasuah itu menahan tiga pegawainya berhubung satu tuduhan memalsukan wang tunai dirampas daripada bekas ketua pengarah Pertubuhan Perisikan Luar Malaysia Hasanah Abd Hamid tiga tahun lalu.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Abd Jalil Hassan dalam satu kenyataan berkata beliau belum menerima laporan polis berkenaan tuduhan salah guna kuasa dan penyelewengan wang itu.

“Jangan sebar berita palsu di media sosial. Polis belum lagi menerima sebarang laporan berkenaan insiden yang didakwa itu,” katanya.

Pada April, Hasanah dilepaskan tanpa dibebaskan oleh Mahkamah Tinggi dalam kes pecah amanah membabitkan nilai RM50.4 juta, selepas pihak pendakwa menarik balik kes terhadapnya.

Pihak pendakwa memohon untuk tidak meneruskan pendakwaan terhadap tertuduh dan menjelaskan satu perkembangan baharu diperolehi.

Hasanah sebelum ini mengaku tidak bersalah atas tuduhan pecah amanah membabitkan AS$12.1 juta milik kerajaan Malaysia di Mahkamah Sesyen pada 25 Oktober, 2018.

Beliau didakwa melakukan kesalahan itu atas kapasitinya sebagai penjawat awam antara 30 April dan 9 Mei tahun itu. – 20 September, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen