Keluarga utamakan pendapatan berbanding pendidikan ketika pandemik, kata NUTP


Angie Tan

Ibu bapa sering memberi perhatian kepada kemajuan akademik anak mereka sebelum ini tetapi ia menjadi kurang penting ketika pandemik. – Gambar fail The Malaysian Insight, 6 September, 2021.

PENDIDIKAN menjadi terlalu mahal bagi kebanyakan keluarga berpendapatan rendah kerana mereka kini terpaksa menggunakan sumber kewangan kepada perkara lain yang lebih penting untuk bertahan dalam tempoh pandemik Covid-19, kata pendidik dan wakil rakyat.

Mereka berkata ketika wabak itu kini memasuki tahun kedua, banyak keluarga tidak dapat memenuhi keperluan mereka dan harus memaksa anak mereka berhenti sekolah.

Menurut data kementerian, dalam dua bulan pertama tahun ini, seramai 1,176 pelajar di seluruh negara berhenti sekolah kerana wabak dan kesukaran untuk belajar secara dalam talian. Daripada data itu, pelajar di Selangor menyumbang kepada 35.3%.

Setiausaha Agung Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) Wang Heng Suan memberitahu The Malaysian Insight bahawa ibu bapa sering memberi perhatian kepada kemajuan akademik anak mereka sebelum ini tetapi ia menjadi kurang penting ketika pandemik.

“Sekarang ini, yang paling mereka ambil berat adalah kehidupan mereka, kedua mata pencarian mereka dan hanya selepas itu pendidikan anak mereka.

“Jadi, walaupun guru melaporkan kepada ibu bapa anak mereka tidak ada di sekolah, beberapa ibu bapa menyatakan mereka sukar menyediakan makanan setiap hari dan mereka tidak pasti apa akan berlaku esok.”

Beliau berkata tidak seperti pada masa lalu ketika kadar berhenti sekolah tinggi dalam kalangan pelajar Cina atau India, kini ia mempengaruhi semua kaum dan etnik.

“Berhenti sekolah berlaku dalam semua kumpulan etnik dan masalah kewangan keluarga menjadi alasan utama.

“Khususnya, ibu bapa pelajar dalam kumpulan B40 tidak mampu membeli peralatan pembelajaran dalam talian dan membayar bil Internet,” katanya.

Beliau berkata kesatuan itu sentiasa bekerjasama dengan sekolah untuk menyediakan telefon bimbit percuma kepada pelajar miskin dengan harapan dapat mengurangkan masalah itu.

“Oleh kerana permintaan tinggi, kami hanya dapat memberikan satu unit kepada satu keluarga, jadi mereka yang mempunyai tiga hingga empat anak masih menghadapi masalah tidak cukup peralatan untuk pembelajaran dalam talian.

“Ada juga beberapa badan bukan kerajaan yang menyediakan peralatan kepada pelajar supaya mereka dapat mengikuti kelas dalam talian. Tetapi kami berharap kerajaan dapat memberikan data Internet percuma untuk mereka menyelesaikan kesulitan anak-anak mengikuti kelas dalam talian,” katanya.

Perbelanjaan Internet untuk pembelajaran di rumah menjadi beban jangka panjang bagi keluarga yang kehilangan punca pendapatan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 6 September, 2021.

Ahli Parlimen Hulu Selangor June Leow juga menceritakan masalah sama di kawasannya, dengan menyatakan pusat khidmatnya menerima lebih daripada 30 kes pelajar yang tidak dapat membayar akses Internet untuk pembelajaran dalam talian.

Beliau berkata perbelanjaan Internet menjadi beban jangka panjang bagi keluarga yang kehilangan punca pendapatan.

“Sekiranya ada tiga anak dalam keluarga yang bersekolah serentak, ia pasti akan menjadi beban besar. Di samping itu, jika peralatan tidak mencukupi, dua anak lagi kemudiannya terpaksa berhenti sekolah.”

Beliau turut berkata, sekolah dan guru melakukan yang terbaik dalam menangani kes sebegitu untuk memastikan pelajar mendapat akses yang betul menghadiri kelas.

“Saya juga berusaha sedaya upaya untuk membantu semua keluarga di kawasan saya yang meminta pertolongan kerana pendidikan amat penting.”

Adun Balakong Wong Siew Ki berkata isu keciciran sekolah sudah menjadi masalah di sekolah dalam kawasannya kerana ramai pelajar berpendapatan sederhana tidak aktif mengikuti kelas disebabkan keluar bekerja untuk mencari wang.

“Dalam waktu pandemik, lebih ramai pelajar memilih berhenti sekolah untuk bekerja dan saya tidak terkejut.”

Beliau mendedahkan sesetengah ibu bapa meminta anak mereka bekerja untuk membantu menyara keluarga. – 6 September, 2021.

Berita penuh di sini.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen