Ibu bapa bimbang calon SPM tertekan, hilang tumpuan


Diyana Ibrahim Hailey Chung Wee Kye

Pelajar banyak tercicir mata pelajaran dan tidak bersedia menghadapi peperiksaan kerana tidak hadir sekolah kira-kira setahun kerana pandemik Covid-19. – Gambar fail The Malaysian Insight, 8 Februari, 2021.

IBU bapa bimbang keputusan Kementerian Pendidikan untuk menamatkan sesi persekolahan bagi pelajar yang akan mengambil peperiksaan utama akan menjejaskan masa depan anak mereka.

Salah seorang bapa pelajar terlibat, Mahmood Kassim, berkata sebagai beliau bimbang langkah itu akan memberi tekanan dan membuat anaknya yang bakal menduduki SPM hilang tumpuan belajar.

Mahmood, 46, berkata pelajar berkenaan sememangnya sudah banyak tercicir dan tidak bersedia menghadapi peperiksaan kerana tidak hadir sekolah kira-kira setahun kerana pandemik Covid-19.

Beliau memberitahu The Malaysian Insight, langkah kerajaan untuk menutup sekolah semula dalam tempoh dua minggu aneh kerana belajar hanya sempat bersekolah semula selama sebulan.

“Memang sangat pelik sebab tempoh lama juga (belajar sendiri) dalam dua minggu sedangkan sebelum ini berlaku keciciran.

“Jadi kecewalah buat keputusan macam itu kerana ia menganggu masa depan pelajar. Pelajar jadi hilang fokus dan mereka ini baru nak kejar balik balik apa yang tertinggal,” katanya.

Mahmood yang juga seorang pesara guru berkata Kementerian Pendidikan tidak perlu menutup sekolah dan perlu memberikan pilihan kepada pelajar.

“Kalau ikut pengalaman saya, pelajar ini perlukan guru hingga ke akhir bukan setakat sebelum peperiksaan. Sebenarnya sampai nak masuk ke dalam dewan peperiksaan pun guru subjek itu akan bersama.

“Belajar di rumah secara dalam talian sebenarnya tak sama. Dalam tempoh sebulan (belajar bersemuka) sebenarnya tak cukup untuk pelajar kejar balik (pelajaran), buat latihan.

Pelajar juga tidak sempat menjawab set soalan dalam ujian tahun sudah sebelum menduduki ujian sebenar dan mereka akan berpeluang berbuat demikian jika tempoh persekolahan dilanjutkan.

“Kalau sekolah diteruskan lagi sebenarnya sempat untuk guru mengajar jadi pelajar akan lebih bersedia tapi sekarang memang pelajar tidak bersedia,” katanya.

Seorang surirumah yang hanya mahu dikenali sebagai Anisah pula berhasrat agar anaknya terus tinggal di asrama biarpun sesi persekolahan sudah berakhir.

Anisah, 46, berkata anaknya sudah tentu tidak akan dapat fokus untuk belajar jika pulang ke rumah.

“Saya memang nak anak saya tinggal di asrama saja, jangan balik sebab senang untuk mereka belajar walaupun tidak ada kelas. Sekurang-kurangnya mereka boleh fokus di sana,” katanya.

Belajar di rumah secara dalam talian tidak sama secara bersemuka, kata seorang pesara guru. – Gambar fail The Malaysian Insight, 8 Februari, 2021.

Kebimbangan itu muncul selepas Kementerian Pendidikan mengumumkan sesi persekolahan secara bersemuka bagi semua calon SPM dan SVM di seluruh Malaysia berakhir esok.

Ia bagi memberi ruang kepada calon untuk membuat persiapan sendiri sebelum peperiksaan bermula pada 22 Februari ini, kata Ketua Pengarah Pelajaran Dr Habibah Abdul Rahim.

Dr Habibah dalam pekeliling 4 Februari itu juga berkata murid di asrama mempunyai pilihan sama ada untuk terus kekal tinggal di asrama atau pulang bercuti sempena Tahun Baru Cina.

Mereka yang pulang perlu menjalani kuarantin 10 hari sekiranya mahu kembali ke sekolah, atau ada pilihan untuk menukar pusat peperiksaan yang dekat dengan rumah.

Pilihan itu perlu dimaklumkan kepada sekolah sebelum Selasa ini, tambahnya.

Sementara itu seorang pelajar SPM Maktab Rendah Sains Mara di Kuantan yang hanya mahu dikenali sebagai Hafiz berkata memilih untuk belajar di asrama saja biarpun kelas telah tamat.

“Yang menjadi kekeliruan kita masa awal bila kelas ditamatkan jadi yang duduk asrama ini tak tahu belajar macam mana, lagipun jadual cikgu sudah buat.

“Tapi lepas itu saya dan rakan fikir lebih baik kami tinggal saja di asrama untuk belajar. Paling kurang pun boleh belajar sama dengan rakan lain,” kata Hafiz, 17.

Seorang lagi calon SPM, Elijah Roshan Ganesh Kumar berkata beliau kini perlu menggandakan usahanya untuk belajar memandangkan sesi sekolah ditutup lebih awal.

Namun beliau bernasib baik kerana mempunyai alternatif untuk menghadiri tuisyen biarpun sesi sekolah sudah berakhir, kata pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Shahbandaraya, Klang itu.

“Bila sekolah dibuka semula masa 20 Januari lepas tempoh pembelajaran sebenarnya agak lama kalau biasanya habis jam 1 petang tapi sekarang sampai 3.30 petang.

“Ia memang agak memenatkan tapi saya faham kerana guru tidak mahu gagal dalam ujian,” katanya yang rela berdepan dengan tekanan agar ujian SPM tidak ditangguhkan.

Ibu bapa bimbang anak mereka tidak bersedia menghadapi peperiksaan kerana tidak hadir sekolah kira-kira setahun kerana pandemik Covid-19. – Gambar fail The Malaysian Insight, 8 Februari, 2021.

Kementerian Pendidikan perlu beri pilihan kepada pelajar

Sementara itu, Kumpulan Bertindak Ibu Bapa bagi Pendidikan (PAGE) pula menggesa pelajar diberi pilihan untuk belajar secara bersemuka di sekolah atau dalam talian.

Pengerusinya Noor Azimah Rahim berkata pelajar SPM lazimnya tidak menghadiri kelas menjelang peperiksaan kerana mahu memberi peluang mengulang kaji di rumah.

Namun memandangkan banyak pelajar tercicir keadaan ketika ini, pembelajaran secara bersemuka amat penting untuk mereka mengejar semula sukatan yang ketinggalan.

“Ada yang boleh belajar sendiri tapi majoriti sebenarnya tidak boleh. Pilihan patut diberi kepada pelajar.

“Sekolah perlu dibuka bagi pelajar yang memerlukan bimbingan. (Isu) ketika ini adalah soal lulus atau gagal berbanding sasaran target berapa banyak A atau B dalam keputusan.

Ulas beliau lagi, pelajar yang tinggal di asrama harus kekal di tempat tersebut kerana ia dapat menjamin suasana lebih kondusif untuk belajar.

Namun kementerian perlu meningkatkan dan memperketatkan prosedur operasi standard penjarakan sosial dalam bilik asrama bagi mengelakkan risiko penyebaran Covid-19, katanya.

Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) pula menyokong dan percaya keputusan Kementerian Pendidikan itu dibuat setelah memikirkan soal keselamatan pelajar dan guru.

Setiausaha Agung NUTP Harry Tan Huat Hock berkata tidak timbul isu akan menjejaskan persiapan pembelajaran pelajar kerana mereka sepatutnya sudah bersedia.

“Mereka mesti diberikan masa untuk belajar sendiri. Mereka masih lagi boleh menghubungi guru- guru mereka  untuk tips persediaan akhir secara individu,” katanya.

Sesi persekolahan bersemuka dibenarkan bermula Januari bagi pelajar yang akan menduduki peperiksaan penting, yang ditunda ke tahun ini.

Persekolahan bersemuka ditangguhkan bermula Mac lalu sewaktu Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berkuatkuasa.

Semua sekolah dibuka semula untuk pembelajaran bersemuka pada Julai dengan SOP ketat apabila penularan Covid-19 reda, namun ditutup semula empat bulan kemudian pada November.

Ia ekoran penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) apabila kadar jangkitan Covid-19 naik mencanak semula di seluruh negara selepas pilihan raya negeri Sabah berlangsung.

Perkembangan itu dikaitkan dengan keputusan kerajaan yang tidak mewajibkan kuarantin bagi individu yang tiba dari Sabah, negeri dengan jumlah kes tinggi pada waktu itu.

Jumlah kes terus meningkat sehingga mencecah 5,000 kes baharu setiap hari menyebabkan kawalan ketat PKP dilaksanakan semula bermula 13 Januari lalu.

Walau dengan pelaksanaan PKP, sesi persekolahan bersemuka kemudian dibenarkan semula bermula 20 Jan lalu membabitkan pelajar yang akan mengambil peperiksaan utama. – 8 Februari, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen