DidikTV tidak boleh ganti pembelajaran dalam talian, kata kesatuan


Noel Achariam Raevathi Supramaniam

Interaksi secara langsung dengan guru amat penting supaya murid mendapat bimbingan dan penjelasan lebih baik bagi mata pelajaran teras, kata NUTP. – Gambar fail The Malaysian Insight, 18 Februari, 2021.

SALURAN televisyen pendidikan DidikTV yang mula bersiaran semalam tidak boleh menggantikan pembelajaran dalam talian, kata kumpulan pendidik.

Interaksi secara langsung dengan guru amat penting supaya murid mendapat bimbingan dan penjelasan lebih baik bagi mata pelajaran teras, tambah mereka.

Setiausaha Agung Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) Harry Tan Huat berkata DidikTV hanya salah satu cara untuk murid mendapat pendidikan di rumah.

“Perlu ditekankan bahawa murid masih memerlukan guru untuk mengajar dan menjelaskan isi kandungan DidikTV.

“Bagaimana kalau murid ada soalan mengenai mata pelajaran yang diajar?,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi membendung pandemik Covid-19 menyebabkan sekolah terpaksa ditutup, sekali gus murid perlu menjalani Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR).

DidikTV dilancarkan oleh Perdana Menteri Muhyiddin Yassin semalam sebagai usaha membolehkan murid mendapat bahan pembelajaran melalui televisyen, khususnya yang tidak mempunyai akses internet atau peranti yang sesuai.

Muhyiddin berkata DidikTV akan menyiarkan program berteraskan kurikulum dan kokurikulum Kementerian Pendidikan, selain berita mengenai dunia pendidikan daripada peringkat prasekolah hingga Tingkatan 6, program bercorak didik hibur (edutainment) serta kandungan yang dihasilkan oleh murid.

Tan memberitahu The Malaysian Insight, DidikTV bukan penyelesaian terbaik bagi murid yang tidak mempunyai akses kepada internet.

Katanya, banyak persoalan dibangkitkan mengenai kebolehlaksanaan DidikTV sebagai kaedah pengajaran, seperti adakah murid akan duduk di hadapan televisyen sepanjang hari untuk menonton saluran berkenaan.

“Bagaimana kalau murid ada soalan atau tak faham? Bagaimana adik beradik lain boleh tonton pada masa yang sama?

“Bagaimana guru hendak nilai pencapaian murid? Bagaimana guru hendak dapatkan maklum balas mengenai mata pelajaran yang diajar?”

Beliau turut mempesoalkan apakah ibu bapa perlu memantau anak mereka supaya menonton saluran DidikTV sepanjang hari.

“Bagaimana pengurusan DidikTV hendak tahu sama ada program mereka mendapat sambutan, dan jika tidak, adakah mereka akan lancar yang baharu?”

Peranan guru masih penting

Pengerusi Kumpulan Tindakan Ibu Bapa untuk Pendidikan (Page) Noor Azimah Abdul Rahim berkata DidikTV dapat membantu murid yang tidak mempunyai peranti untuk mengikuti PdPR.

“Ia juga berfungsi sebagai platform tambahan kepada pembelajaran dalam talian semasa PKP.

“Pembelajaran dalam talian lebih interaktif kerana murid dapat berinteraksi dengan guru. Bagaimanapun, ia tetap tidak setanding pembelajaran secara semuka,” katanya.

Guru masih memegang peranan penting, kata Azimah.

“Guru perlu membantu murid dan televisyen tidak boleh mengambil alih peranan guru untuk mengajar dan mendidik.” – 18 Februari, 2021. 

Berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen