Jangan salahkan guru, semak kekurangan DidikTV, kata kumpulan pendidik


Noel Achariam

Guru mempunyai cara tersendiri untuk mengajar murid, kata NUTP. – Gambar fail The Malaysian Insight, 19 Februari, 2021.

PENERBIT DidikTV perlu melihat kepada kekurangan saluran pendidikan itu, bukan guru Sains yang baru-baru ini dikritik kerana menerangkan sistem pembiakan dengan menggunakan Bahasa Inggeris yang lemah, kata kumpulan pendidik.

Mereka memberitahu The Malaysian Insight pihak yang ditugaskan dan bertanggungjawab untuk perancangan dan penerbitan program perlu diperiksa.

Setiausaha Agung Kesatuan Profesion Perguruan Malaysia (NUTP) Harry Tan berkata guru tersebut tidak bersalah kerana beliau menerangkan topik sistem pembiakan, bukan mengajar Bahasa Inggeris.

“Semak apa yang beliau ajar, kita perlu adil. Jika beliau mengajar Bahasa Inggeris, teruskan mengkritik.

“Semak kandungan subjek, jika beliau salah sebagai guru Sains, silakan.

“Tapi tolong berlaku adil, kita hanya manusia. Kami adalah guru, bukan pelakon,” kata Tan kepada The Malaysian Insight.

Tan mengulas mengenai satu video untuk pelajar Tahun Dua yang disiarkan awal minggu ini. Klip sepanjang 28 saat itu mengundang kritikan kerana cara guru berkenaan bercakap serta kesalahan sebutan beberapa perkataan ketika menjelaskan mengenai sistem pembiakan manusia.

DidikTV dilancarkan oleh Perdana Menteri Muhyiddin Yassin sebagai saluran TV pendidikan khas di bawah Kementerian Pendidikan.

Saluran itu merupakan usaha kementerian untuk meningkatkan akses pendidikan berkualiti kepada pelajar di seluruh negara.

Tan berkata dalam hal ini, penerbit yang harus dipersalahkan.

“Mereka perlukan golongan profesional sekiranya mahu terbitkan program yang lebih berkualiti.”

Katanya peranan guru untuk program itu adalah untuk menerangkan kandungan (Sains) dan bukannya mengajar Bahasa Inggeris.

“Beliau juga ada cara tersendiri untuk mengajar kerana pelajar adalah daripada Tahun Dua. Ini berkenaan bagaimana untuk fahamkan murid,” kata Tan.

Pengerusi Kumpulan Bertindak Ibu Bapa bagi Pendidikan (Page) Noor Azimah Abdul Rahim berkata mereka yang bertanggungjawab untuk perancangan dan penerbitan program perlu dipersalahkan.

“Masalahnya juga terletak pada sikap yang mahu melepaskan diri atau melibatkan ego dalam membuat keputusan dan bahkan, mereka yang seharusnya bertanggungjawab dapat melepaskan diri tanpa tindakan diambil terhadap mereka,” kata Noor Azimah.

“Akhirnya, yang rugi adalah anak-anak kita, yang terkesan adalah guru yang mungkin sudah berikan yang terbaik, namun tidak menyedari yang mereka mampu menjadi lebih baik dan mempertingkatkan kemahiran dengan panduan dan latihan yang berkesan bagi mencapai potensi terbaik mereka.”

Beliau berkata walaupun ia adalah kesilapan penerbit dan penulis skrip, kementerian juga perlu melihat proses pembuatan video.

“Adakah terdapat jawatankuasa pemantau dan perancang dalam KPM yang menyelaras dasar, perancangan dan pelaksanaan mata pelajaran?

“Adakah mata pelajaran telah melalui semakan sebelum disiarkan di tv?”

Noor Azimah turut mempersoalkan siapakah yang bertanggungjawab untuk mengawal kualiti setiap mata pelajaran.

“Apa peranan mereka (KPM) dalam menghasilkan video tersebut? Siapa penulis skrip? Bagaimana dengan proses pemilihan guru dibuat? Ada buat uji bakat atau tidak?

“KPM mesti bertanggungjawab atas kawalan kualiti yang sangat lemah.”

Noor Azimah juga berkata guru Sains yang dikritik itu tidak harus dipersalahkan atas kelemahan kualiti video.

“Kerana bagi penghasilan mana-mana video, sudah tentu ada prosesnya. Dan guru itu telah melaluinya.”

Katanya lagi, guru harus diberi penghargaan atas profesionalisme mereka.

Beliau bagaimanapun berkata DidikTV masih bermanfaat kepada murid yang tidak mempunyai peranti dan tiada akses kepada internet sepanjang sekolah ditutup semasa Perintah Kawalan Pergerakan.

“Sebab itulah mengapa kita mesti pentingkan kualiti, kerana murid-murid yang tidak berkemampuan memerlukannya (DidikTV), mereka tiada pilihan.” – 20 Februari, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen