Majoriti guru sudah divaksin, kata NUTP


Hailey Chung Wee Kye

NUTP berkata kebanyakan guru yang enggan mengambil suntikan vaksin memberi alasan kesihatan, terutamanya yang menghidap penyakit kronik.– Gambar fail The Malaysian Insight, 24 Ogos, 2021.

LEBIH 90% daripada 450,000 guru di seluruh Malaysia sudah disuntik vaksin Covid-19, kata Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP).

Setiausaha Agung NUTP Wang Heng Suan berkata kebanyakan guru yang enggan mengambil suntikan vaksin memberi alasan kesihatan, terutamanya yang menghidap penyakit kronik.

“Kami tak boleh paksa kerana mereka berhak untuk menolak. Tetapi mereka boleh diberi kaunseling dan nasihat supaya mengambil suntikan untuk keselamatan diri sendiri dan orang lain.

“NUTP berharap dengan cara ini mereka akhirnya berasa yakin dan setuju untuk divaksin demi kepentingan pendidikan,” katanya ketika dihubungi The Malaysian Insight.

Kementerian Pendidikan 15 Ogos lalu umum sekolah akan dibuka secara berperingkat mulai 3 Oktober, kecuali bagi negeri-negeri dalam Fasa Satu Pelan Pemulihan Negara (PPN).

Bagi negeri-negeri Fasa Dua, pembukaan sekolah hanya untuk kelas peperiksaan manakala bagi Fasa Tiga pembukaan penuh dibenarkan.

Mengulas pengumuman tersebut, Wang berkata meskipun ia disambut baik NUTP kebanyakan ibu bapa dan guru enggan membenarkan anak ke sekolah kerana bimbang terhadap risiko jangkitan.

“Kebimbangan ini bukan hanya dalam kalangan ibu bapa di negeri-negeri Fasa 1, tetapi juga Fasa 2,” katanya.

Tambah beliau, tidak sampai 10% ibu bapa bersetuju sekolah dibuka ketika kes harian masih tinggi. – 24 Ogos, 2021.

Berita penuh di sini


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen