Kerajaan kurang telus batal ordinan darurat tanpa warta, kata peguam


Aminah Farid

Tidak keluarkan warta tentang perkara penting negara ketika ini tunjuk sikap kerajaan tidak bersikap terbuka dan telus, kata peguam. – Gambar fail The Malaysian Insight, 26 Julai, 2021.

KERAJAAN tidak telus kerana tidak keluarkan warta pembatalan enam ordinan darurat, malah hanya sekadar umum perkara itu di Parlimen hari ini, kata peguam.

Andrew Khoo berkata perkara penting berkait kepentingan negara tidak boleh dilayan seperti itu, walaupun warta tidak diterbitkan serta merta.

“Menunda warta tanda kurangnya komitmen untuk bersikap terbuka dan telus. Terutama tentang perkara di peringkat kebangsaan yang sangat penting seperti ini.

“Jika apa yang dikatakan Menteri itu benar, dan kerajaan telah memutuskan pada 21 Julai untuk menasihati Yang di-Pertuan Agong membatal ordinan tersebut, maka adalah tanggungjawab kerajaan mewartakan perkara itu tanpa tangguh.

“Kenapa tidak dibuat? Kenapa mereka tidak terbitkan salinan Warta yang tunjuk kerajaan dah batalkan? Atau adakah ini semua merupakan sikap sambil lewa pihak kerajaan?” kata Khoo kepada The Malaysian Insight.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Parlimen) Takiyuddin Hassan pagi ini memberitahu Dewan Rakyat enam ordinan darurat yang diluluskan sepanjang darurat sejak 11 Januari telah dibatalkan pada 21 Julai lepas.

Bagaimanapun, setakat ini warta tersebut masih tidak ada dalam  laman web Jabatan Peguam Negara.

Pengumuman Takiyuddin mengejutkan para ahli Parlimen, kerana pembentangan peraturan tersebut disenaraikan dalam aturan mesyuarat untuk persidangan khas lima hari Dewan Rakyat untuk mendengar pembahasan menteri mengenai pandemik Covid-19.

Ahli Parlimen mahu membuat pungutan suara untuk membatalkannya, malah turut menyatakan Yang di-Pertuan Agong bertitah memutuskan pengisytiharan darurat dan ordinan-ordinan darurat dibentang, dibahas oleh para ahli Parlimen, seperti termaktub dalam Fasal 150 Perlembagaan Persekutuan.

Namun, Takiyuddin berkata memandangkan ordinan darurat itu telah dibatalkan, “isu pembatalan tidak lagi relevan”.

Seorang lagi peguam, Tiara Katrina, berkata pembatalan ordinan itu hanya boleh dianggap berkesan selepas warta dikeluarkan.

“Malangnya, sejak pengumuman dibuat, tidak dapat dijumpai warta yang dikeluarkan. Ini asas di mana saya berpendapat sebarang percubaan untuk membatalkan Ordinan sekarang harus dianggap sebagai ‘pembatalan yang tertangguh’,” katanya.

Jelas Tiara, cara membatalkan ordinan mungkin boleh “dibenarkan secara teknikal” dengan syarat kedua-dua Dewan Negara dan Dewan Rakyat tidak bersidang serentak. – 26 Julai, 2021.

Berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen