Benarkan perbahasan, atau letak jawatan speaker, gesa Majlis PH kepada Azhar


Yang di-Pertua Dewan Rakyat Azhar Azizan Harun diberikan tiga syarat oleh Majlis Presiden Pakatan Harapan.– Gambar fail The Malaysian Insight, 21 Julai, 2021.

PAKATAN Harapan mahu Azhar Azizan Harun letak jawatan Yang di-Pertua Dewan Rakyat jika gagal memenuhi maksud titah nasihat Yang di-Pertuan Agong supaya Parlimen membahaskan segala hal berkaitan pengurusan Covid-19.

Majlis Presiden PH meletakkan tiga syarat kepada Azhar termasuk tidak menghadkan jumlah ahli Parlimen hadir dan berada di Dewan Rakyat pada sesuatu masa apabila sidang khas Parlimen bermula Isnin ini.

Mereka juga mahu Azhar membenarkan perbahasan penuh semua isu-isu yang dititah nasihat oleh Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja-Raja Pemerintah selepas perbincangan khas diraja pada 16 Jun.

“Yang di-Pertua Dewan Rakyat perlu putuskan sama ada beliau menjunjung penuh titah pandangan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dan Raja-Raja Pemerintah, atau sekadar mengikut arahan Kabinet.

“Jika Yang di-Pertua Dewan Rakyat merasakan beliau tidak mampu melaksana tiga perubahan ini, beliau dipelawa untuk meletakkan jawatan,” kata ketua tiga parti dalam PH dalam satu kenyataan bersama.

Mereka menegaskan tidak dapat menerima sidang Parlimen yang dipanggil hanya untuk mendengar ceramah atau kuliah menteri tanpa perbahasan penuh.

Kenyataan dikeluarkan oleh Presiden PKR Anwar Ibrahim, Presiden Amanah Mohamad Sabu dan Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng.

Mereka mengulas kenyataan Azhar yang mendakwa PH cuba melagakan beliau dengan Yang di-Pertuan Agong.

“Ini bukanlah satu kenyataan yang patut dikeluarkan seorang Yang di-Pertua Dewan Rakyat, dan menggunakan bahasa yang tidak mengikut peraturan Parlimen,” kata tiga ketua parti dalam PH.

Majlis Presiden PH sebelum itu menggesa Azhar dan kerajaan Perikatan Nasional supaya tidak derhaka kepada Yang di-Pertuan Agong apabila menutup ruang perbahasan di Dewan Rakyat semasa persidangan khas minggu depan.

Pada 16 Ogos, selepas perbincangan khas dengan Raja-Raja Melayu, Al-Sultan Abdullah menitahkan pandangan supaya Parlimen membahaskan Ordinan-ordinan Darurat, Pelan Pemulihan Negara dan perbelanjaan berkaitan pandemik Covid-19.

Yang di-Pertuan Agong menitahkan pandangan sama sebelum itu pada 24 Februari dan kemudiannya sekali lagi pada 29 Jun.

Dewan Rakyat akan bersidang lima hari antara 26 Jun hingga 2 Ogos diikuti Dewan Negara selama tiga hari sehingga 5 Ogos.

Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Parlimen ke-14 seterusnya akan disempurnakan oleh Al-Sultan Abdullah pada 6 September. – 21 Julai, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen