YANG di-Pertua Dewan Rakyat Azhar Azizan Harun dan kerajaan Perikatan Nasional (PN) tidak seharusnya derhaka kepada Yang di-Pertuan Agong apabila menutup ruang perbahasan di Dewan Rakyat semasa persidangan khas hujung bulan ini, kata Pakatan Harapan (PH).
Perbahasan wakil rakyat itu selari dengan titah Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, kata mereka, ketika menzahirkan pandangan bulan lalu supaya Parlimen bersidang segera.
“Pakatan Harapan mendesak Yang di-Pertua Dewan Rakyat (Azhar Azizan Harun) dan kerajaan Perikatan Nasional (PN) agak tidak derhaka terhadap titah pandangan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong,” kata mereka dalam satu kenyataan.
Mereka menegaskan sidang khas Parlimen hujung bulan ini mesti membenarkan wakil rakyat berbahas mengenai hal-hal yang berbangkit daripada krisis kesihatan dan ekonomi akibat penularan Covid-19.
Kenyataan dikeluarkan oleh Presiden PKR Anwar Ibrahim, Presiden Amanah Mohamad Sabu dan Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng.
Mereka mendesak agar Azhar dan kerajaan PN “terus membuka ruang perbahasan” serta memastikan Parlimen berfungsi semula seperti biasa untuk ahli-ahli Dewan Rakyat menunaikan tangggungjawab kepada rakyat.
Kenyataan hari ini menyusul surat Anwar kepada Azhar mendesak mendesak beliau sebagai ketua majlis untuk memastikan ruang perbahasan dibuka seluas-luasnya kepada Ahli-Ahli Parlimen sewaktu sidang Dewan Rakyat akan datang.
“Perkara ini mustahak bagi membincangkan hal-hal mendesak tatkala negara berhadapan dengan keadaan yang sangat mencabar dan rumit saat ini,” kata Anwar dalam kenyataannya semalam.
Pada 16 Ogos, selepas perbincangan khas dengan Raja-Raja Melayu, Al-Sultan Abdullah menitahkan pandangan supaya Parlimen membahaskan Ordinan-ordinan Darurat, Pelan Pemulihan Negara dan perbelanjaan berkaitan pandemik Covid-19.
Yang di-Pertuan Agong menitahkan pandangan sama sebelum itu pada 24 Februari dan kemudiannya sekali lagi pada 29 Jun.
“Titah pandangan Seri Paduka Baginda senada dengan aspirasi rakyat yang mahu pengakhiran kemelut wabak pandemik Covid-19 dan kemelesetan ekonomi dihadapi negara ketika ini,” kata tiga ketua parti PH.
Dewan Rakyat akan bersidang lima hari antara 26 Jun hingga 2 Ogos diikuti Dewan Negara selama tiga hari sehingga 5 Ogos.
Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Parlimen ke-14 seterusnya akan disempurnakan oleh Al-Sultan Abdullah pada 6 September. – 18 Julai, 2021.
Komen