SEKURANG-KURANGNYA 23 orang terkorban manakala beberapa rumah musnah akibat tembok dan tanah runtuh susulan hujan lebat melanda Mumbai, India, kata pihak berkuasa hari ini.
Menurut Pasukan Tindakan Bencana Kebangsaan (NDRF), beberapa penduduk dikuatiri tertimbus akibat pokok tumbang yang meranapkan tembok di pinggir timur Chembur awal pagi tadi.
Tambah pasukan itu, 17 mayat telah ditemui dari runtuhan berkenaan setakat ini.
Para penyelamat sedang berusaha mencari dan menyelamat mangsa dan mayat yang terlibat dalam kejadian itu.
Sementara itu NDRF melaporkan enam orang terkorban dalam kejadian tanah runtuh yang melanda lima rumah di di pinggir bandar Vikhroli, timur laut kota itu
Keruntuhan bangunan adalah perkara biasa semasa musim tengkujuh di India sepanjang Jun hingga September.
Hujan lebat melanda ibu kota berkepadatan 20 juta penduduk itu sejak semalam hingga mengakibtakan perkhidmatan pengangkutan awam terjejas.
Jabatan Meteorologi India berkata hujan lebat atau banjir kilat diramal berlanjutan selama dua hari akan datang.
Perdana Menteri Narendra Modi mengucapkan takziah sambil menambah akan memberi pampasan untuk keluarga mangsa yang terlibat. – AFP, 2 Julai, 2021.
Komen