Pakistan hukum penjara suspek dalang serangan 2008 di Mumbai


Hafiz Saeed dikehendaki di India kerana didakwa menjadi perancang serangan maut di Mumbai pada 2008. – Gambar EPA, 13 Februari, 2020.

INDIVIDU didakwa menjadi dalang serangan maut di Mumbai lebih sedekad lalu yang dipenjara di Pakistan selama hampir enam tahun atas pertuduhan keganasan berasingan, kata peguamnya semalam.

Hafiz Saeed didapati bersalah kerana “menjadi sebahagian daripada kumpulan pengganas yang diharamkan” dan kerana “memiliki hartan haram”, kata peguam Imran Gill memberitahu AFP.

Beliau dikehendaki di India kerana didakwa merancang serangan 2008 mengejutkan di Mumbai, apabila 10 militan Islam bersenjatakan senapang, bom tangan dan senjata lain membunuh 166 orang dan mencederakan ratusan lagi.

Pihak berkuasa mengambil masa tiga hari untuk mengawal sepenuhnya bandar itu.

Peguam Gill tidak memberikan butiran mengenai sabitan Saeed selain memberitahu anak guamnya akan dipenjarakan di bandar timur Lahore.

Saeed dianggap sebagai pengganas global oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu dan Amerika Syarikat (AS), yang menawarkan ganjaran AS$10 juta (RM41 juta) jika berjaya dibunuh.

Beliau mengetuai badan amal Jamaat-ud-Dawa sayap militan Lashkar-e-Taiba (LeT) dipercayai oleh Washington dan Delhi bertanggungjawab terhadap serangan Mumbai.

AS memuji Pakistan dengan sabitan kesalahan dan hukuman terhadapnya.

India sekian lama berkata terdapat bukti yang “agensi rasmi” di Pakistan terlibat dalam perancangan serangan itu - satu dakwaan yang dinafikan oleh Islamabad.

Saeed juga menafikan penglibatannya, tetapi menghabiskan bertahun-tahun keluar masuk pelbagai bentuk tahanan di Pakistan, kadang-kala penahanan di rumah, atas pelbagai tuduhan.

Namun sebahagian besarnya, beliau bebas bergerak di dalam negara, yang mendorong India berulang kali menggesa pendakwaan dilakukan terhadapnya.

Penangkapan terakhirnya pada Julai tahun lepas. Pada masa itu, Presiden AS, Donald Trump menulis Saeed ditahan “selepas pencarian selama 10 tahun”, menjadi bahan sendaan rakyat Pakistan.

Jawatankuasa Ehwal Luar Negeri AS juga menyatakan Saeed ditangkap dan dibebaskan lapan kali sejak 2001.

Islamabad, yang banyak dipercayai menggunakan kumpulan jihad seperti LeT sebagai proksi terhadap India, sekian lama berada di bawah tekanan antarabangsa untuk melancarkan serangan terhadap militan itu.

Hukuman penjara terhadap Saeed dibuat ketika Pakistan menghadapi kemungkinan penyenaraian hitam oleh Pasukan Petugas Tindakan Kewangan (FATF) - sebuah pemantauan anti-pengubahan wang haram yang berpangkalan di Paris - kerana gagal memerangi pembiayaan keganasan. – AFP, 13 Februari, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen