LEBIH separuh penghuni di kawasan sesak di Mumbai pernah dijangkiti koronavirus, menurut kajian dikeluarkan pada Selasa yang menimbulkan keraguan baharu mengenai jumlah kes rasmi India.
India menjadi negara ketiga paling teruk dilanda selepas Amerika Syarikat (AS) dan Brazil, dengan hampir 1.5 juta kes walaupun para pakar sebelum ini berkata kekurangan ujian bermakna jumlah sebenarnya jauh lebih tinggi.
Ujian darah terhadap 6,936 individu dipilih secara rambang yang dilakukan oleh pihak berkuasa bandar Mumbai mendapati 57% penghuni di kawasan sesak dan 16% penduduk bukan di kawasan itu mempunyai antibodi virus.
Mumbai yang mempunyai kira-kira 40% penduduk tinggal di kawasan sesak, melaporkan lebih 110,000 jangkitan dan lebih 6,000 kematian setakat ini.
Bandar barat yang berjumlah 20 juta penduduk mempunyai kawasan sesak terbesar di India, Dharavi, dengan anggaran 1 juta orang.
Tetapi kematian di kawasan itu tidak diperbesarkan, dengan pegawai tempatan berkata usaha agresif mereka untuk membendung penyebaran virus berkesan.
Hasil tinjauan menunjukkan jangkitan asimtomatik “mungkin merupakan bahagian yang tinggi daripada semua jangkitan” dan juga menunjukkan kadar kematian virus mungkin “sangat rendah”, kata kajian itu.
Tinjauan di Mumbai dilakukan seminggu selepas penyelidikan antibodi yang ditugaskan oleh kerajaan menunjukkan hampir seperempat penghuni di New Delhi, yang mempunyai 20 juta penduduk pernah dijangkiti virus. – AFP, 29 Julai, 2020.
Komen