Kerajaan goyah menunggu runtuh, kata penganalisis


Chan Kok Leong

Kerajaan Perikatan Nasional yang goyah mula menunjukkan tanda-tanda akan runtuh selepas setahun menanangani pandemik Covid-19 dengan kontroversi. – Gambar fail The Malaysian Insight, 16 Jun, 2021.

KERAJAAN Muhyiddin Yassin sejak awal tidak pernah stabil, sejak beliau memintas Dr Mahathir Mohamad lebih setahun lalu dengan majoriti tipis 114 anggota Dewan Rakyat untuk mengambil alih pentadbiran di Putrajaya.

Selepas setahun menangani pandemik Covid-19 dengan kontroversi, kerajaan Perikatan Nasional yang goyah mula menunjukkan tanda-tanda akan runtuh, kata penganalisis.

Tanda-tanda itu jelas ternampak apabila dua menteri Mohd Redzuan Md Yusof dan Hishammuddin Hussein mengeluarkan kenyataan terbuka menjarakkan diri daripada cara pentadbiran Muhyiddin menguruskan pandemik.

Redzuan bukan sekali ini bertembung dengan partinya sendiri Bersatu yang dipimpin oleh Muhyiddin. Beliau sebelum ini pernah mengkritik ketua penerangan parti Wan Saiful Wan Jan yang lantang membidas bekas pengerusi dan pengasas parti Dr Mahathir Mohamad yang sudah menubuhkan parti baharu Pejuang.

Wan Saiful mendakwa Dr Mahathir mengamalkan politik pecah belah apabila menubuhkan parti baharu dan tidak mahu menyokong Muhyiddin.

Beliau juga menyelar Dr Mahathir berhubung dakwaan pemimpin Bersatu hanya gilakan jawatan dan imbuhan, dan tiada semangat perjuangan.

Hishammuddin pula bersama partinya Umno sudah menyuarakan ketegasan kepada Muhyiddin bahawa mereka boleh menarik sokongan daripada kerajaan Perikatan Nasional seawal 1 Ogos ini, selepas darurat diangkat.

Redzuan dan Hishammuddin membuat kenyataan terbuka mereka ketika Yang di-Pertuan Agong berkenan menerima mengadap ketua-ketua parti politik menjelang persidangan khas Raja-Raja Melayu hari ini.

Hishammuddin Hussein bersama Umno sudah menyuarakan ketegasan kepada Muhyiddin Yassin bahawa mereka boleh menarik sokongan daripada kerajaan Perikatan Nasional seawal 1 Ogos ini, selepas darurat diangkat. – Gambar fail The Malaysian Insight, 16 Jun, 2021.

Persidangan khas itu dianjurkan atas inisiatif Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah untuk membincangkan usaha-usaha yang diambil oleh kerajaan dalam memerangi penularan Covid-19 dan pelaksanaannya sepanjang tempoh darurat sejak lima bulan lalu.

“Pelik apabila dua menteri mengeluarkan kenyataan menjarakkan diri daripada cara kabinet Muhyiddin mengendalikan pandemik Covid-19,” kata pengarah eksekutif Ilham Centre Hisomuddin Bakar.

“Kenyataan mereka menunjukkan ada retak dalam kerajaan,” tambahnya, sambil mengingatkan waktu yang mereka pilih untuk membuat kenyataan itu.

Dalam satu wawancara dengan Malaysiakini minggu lalu, Redzuan berkata beliau tidak lagi diundang ke mesyuarat Majlis Keselamatan Negara (MKN), hampir sebulan sebelum sekatan pergerakan penuh dilaksanakan berkuat kuasa 1 Jun lalu.

Beberapa hari kemudian, Hishammuddin pula menerbitkan tulisan di blognya mengkritik cara kerajaan mengurus pandemik.

“Nampak macam ada panik dan tiada penyelarasan dalam kerajaan hari ini,” kata Hisomuddin, yang pernah menjadi pegawai kepada menteri Pakatan Harapan Saifuddin Nasution.

Hisomuddin melihat kenyataan aneh dua menteri itu bukan yang pertama, sebaliknya lebih awal lagi kenyataan Presiden PAS Abdul Hadi Awang, yang menulis “dari jendela Institut Jantung Negara (IJN)”, tempat beliau sedang dirawat.

Ada usaha untuk menjatuhkan kerajaan Perikatan, kata Abdul Hadi dalam satu kenyataan yang dikeluarkan selepas Yang di-Pertuan Agong menerima mengadap ketua pembangkang Anwar Ibrahim pada Rabu minggu lepas.

Hisomuddin melihat semua itu mencerminkan keresahan pemimpin Perikatan menjelang pertemuan Raja-Raja Melayu hari ini.

“Saya rasa Redzuan dan Hishammuddin cuba menjarakkan diri mereka daripada kerajaan yang semakin tidak popular dalam kalangan rakyat,” tambahnya.

Perkenan mengadap yang diberikan oleh Yang di-Pertuan Agong kepada ketua-ketua parti politik boleh dianggap pelawaan untuk mendengar pandangan baharu, kata pensyarah politik di Universiti Teknologi Malaysia Dr Mazlan Ali.

“Seri Paduka sedar akan desakan untuk tamatkan darurat dan membuka semula Parlimen dan mendengar idea daripada pemimpin politik,” katanya.

Presiden PAS Abdul Hadi Awang dalam satu kenyataan  yang dikeluarkan selepas Yang di-Pertuan Agong menerima mengadap ketua pembangkang Anwar Ibrahim minggu lepas berkata ada usaha untuk menjatuhkan kerajaan Perikatan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 16 Jun, 2021.

Menurut Mazlan, Raja-Raja Melayu arif dan maklum tentang apa yang berlaku sejak selepas perisytiharan darurat apabila kes jangkitan Covid-19 makin meningkat dan agensi kerajaan dilihat bertembung dalam soal peraturan sekatan.

Katanya, perkenan Agong untuk menerima mendengar pandangan ketua-ketua parti politik itu membuka ruang kepada mereka untuk menyumbang idea, termasuk pentadbiran ala Mageran yang dicadangkan oleh Dr Mahathir.

“Keterbukaan inilah yang mempengaruhi Redzuan dan Hishammuddin bersuara,” kata Mazlan.

Biarpun ada kemungkinan untuk sebuah kerajaan perpaduan dibentuk, seorang pemimpin Pakatan Harapan berkata partinya tidak akan menyokong kerajaan Muhyiddin melalui perjanjian keyakinan dan pembekalan. 

Sebelum Belanjawan 2021, Pakatan menawarkan sokongan keyakinan dan pembekalan kepada Perikatan untuk mengelakkan darurat.

Perikatan menolak tawaran itu dan seterusnya memilih jalan darurat dua bulan kemudian.

“Pilihan itu sudah tidak timbul lagi. Majoriti ahli parlimen parti saya tidak lagi menyokong dukungan untuk keyakinan dan pembekalan.

“Mereka tidak rasa kerajaan ini boleh dibenarkan untuk terus menguruskan pandemik dan ekonomi dengan salah,” katanya. – 16 Jun, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen