Hamzah Zainuddin pujuk Dr Mahathir balik masuk Bersatu, kata pemimpin Pejuang


Ketua Penerangan Penaja Pejuang Ulya Aqamah Husamudin membidas kenyataan Bersatu yang menafikan usahanya memujuk Dr Mahathir Mohamad kembali. – Gambar Facebook, 11 Mei, 2021.

SETIAUSAHA Agung Bersatu Hamzah Zainuddin adalah antara pihak yang cuba memujuk Dr Mahathir Mohamad untuk kembali menyertai bekas partinya, kata Ketua Penerangan Penaja Pejuang Ulya Aqamah Husamudin.

Beliau membidas kenyataan Ketua Penerangan Bersatu Wan Saiful Wan Jan yang menafikan pendedahan Dr Mahathir ada “broker” yang diutus untuk memujuknya supaya meninggalkan Pejuang dan masuk Bersatu semula.

Dr Mahathir mengasaskan Pejuang atau Parti Pejuang Tanah Air selepas disingkirkan dari Bersatu pada hujung Mei kerana tidak menyokong langkah politik parti itu membentuk kerajaan baharu bersama Umno.

“Usahlah menegakkan benang yang basah, hakikatnya masih lagi ada individu yang cuba menarik kami untuk pulang bersama Bersatu. 

“Tanya sahaja Hamzah Zainuddin kerana beliau antara yang cuba memujuk Tun Mahathir kembali ke Bersatu. 

“Namun, prinsip kami bukan untuk dijual beli, tidak mungkin kami termakan dakyah dari mereka yang pernah mengkhianati mandat rakyat,” kata Ulya dalam satu kenyataan.

Ulya juga mengingatkan Wan Saiful mengenai mesyuarat Bersatu yang beliau hadir sama, ketika Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin didakwa bercakap mengenai habuan jawatan untuk mereka yang mahu menyeberang masuk Bersatu.

Dalam wawancara dengan Mingguan Malaysia, Dr Mahathir mendedahkan beliau didatangi broker Bersatu dalam dua atau tiga bulan baru-baru ini mengajaknya supaya kembali menyertai parti itu. 

Dr Mahathir berkata beliau bagaimanapun mengajak mereka untuk meninggalkan Bersatu dan masuk Pejuang, tetapi diberitahu mereka hanya akan orang yang mengutus mereka itu sedia jika boleh menerima gaji RM70,000 sebulan.

Katanya, mereka yang kekal dalam Bersatu sekarang hanya memikirkan habuan semata-mata dan tiada semangat perjuangan.

Ulya berkata Pejuang tidak sama dengan Bersatu kerana parti itu bukan hanya beretorik kononnya antirasuah dan berprinsip.

“Kami menolak rasuah, salah guna kuasa dan enggan berkerjasama dengan mereka yang telah mengkhianati amanah rakyat. 

“Kami kekal berprinsip tanpa sebarang kepentingan peribadi dan sanggup hilang segala kelebihan jawatan dan keistimewaan,” katanya.

Ulya juga menggesa Wan Saiful supaya fokus sahaja kepada isu kegagalan pentadbiran kerajaan Perikatan Nasional pimpinan Muhyiddin.

Beliau menyebut antara kegagalan itu ialah peningkatan kes Covid-19 yang tidak terkawal, campur tangan politik dalam urusan pasukan polis, sehinggalah kepada dasar dan keputusan kerajaan yang mendatangkan masalah kepada rakyat.

“Usah berbohong pada rakyat, apatah lagi masih dalam bulan Ramadan yang mulia ini,” tambahnya.

Pejuang yang ditubuhkan pada Ogos 2020 telah ditolak pendaftarannya oleh Pendaftar Pertubuhan dan kes itu menunggu rayuan di mahkamah pada 31 Mei ini. – 11 Mei, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen