Pandangan ketua parti politik dibawa kepada Raja-Raja Melayu esok, kata Istana Negara


YANG di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah akan membawa kepada Raja-Raja Melayu esok semua pandangan yang disuarakan oleh ketua-ketua parti politik kepada baginda sejak seminggu ini, kata Istana Negara.

Perkara itu diumumkan oleh Datuk Pengelola Bijaya Diraja Ahmad Fadil Shamsuddin selepas Al-Sultan Abdullah selesai menerima mengadap semua ketua-ketua parti politik, yang bermula Rabu lepas dan berakhir hari ini.

“Susulan sesi-sesi menghadap ini, pandangan-pandangan yang telah dikemukakan oleh para pemimpin parti politik akan diwasilkan di Perbincangan Khas Raja-Raja Melayu esok, yang akan bermula pada jam 2.30 petang,” katanya dalam satu kenyataan.

Perbincangan khas esok juga akan menerima sembah taklimat daripada beberapa pakar dari agensi-agensi kerajaan mengenai kesihatan, keselamatan, politik dan ekonomi, tambahnya.

Kenyataan itu dikeluarkan selepas Yang di-Pertuan Agong petang ini menerima mengadap Perdana Menteri Muhyiddin Yassin di Istana Negara.

Kenderaan yang membawa Muhyiddin yang tiba di Istana Negara pada 2.20 petang dilihat keluar lebih kurang pada 3.30 petang.

Al-Sultan Abdullah sebelum itu pada awal hari ini menerima mengadap bekas ketua hakim negara Ariffin Zakaria yang mempengerusikan Jawatankuasa Khas Bebas Darurat yang mempunyai mandat untuk menasihati baginda mengenai tempoh darurat.

Menurut Ahmad Fadil, Yang di-Pertuan Agong menerima mengadap 18 pemimpin parti politik secara bersemuka dan maya sejak Rabu lepas.

Minggu lalu, Yang di-Pertuan Agong menerima mengadap ketua-ketua parti dalam Pakatan Harapan dan Barisan Nasional, selain PAS, Parti Warisan Sabah (Warisan) dan Parti Bersatu Sabah (PBS), serta Dr Mahathir yang juga ketua Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang).

Semalam, Seri Paduka berkenan menerima mengadap ketua-ketua parti dalam Gabungan Parti Sarawak (GPS), Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) dan Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) secara berasingan.

Majlis mengadap itu adalah atas inisiatif serta keprihatinan Al-Sultan Abdullah, katanya.

Ia juga berkaitan usaha-usaha memerang penularan wabak Covid-19 serta pelaksanaannya semasa tempoh darurat, tambahnya.

Pada Rabu lepas, Istana Negara memaklumkan Raja-Raja Melayu akan mengadakan persidangan khas esok untuk membincangkan usaha-usaha yang diambil oleh kerajaan dalam memerangi penularan Covid-19 dan pelaksanaannya sepanjang tempoh darurat sejak lima bulan lalu. – 15 Jun, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen