Berhentilah main politik pecah belah, kata Wan Saiful kepada Dr Mahathir


DR Mahathir Mohamad sepatutnya berhenti bermain politik pecah belah, kata pemimpin kanan Bersatu, sebaliknya bersama-sama membantu mengutamakan rakyat dengan menyokong usaha kerajaan pimpinan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin mengharungi krisis Covid-19.

Ketua Penerangan Bersatu Wan Saiful Wan Jan hairan kenapa Dr Mahathir sekarang menyalahkan parti politik sebagai punca pecah belah, sedangkan beliau pun sedang menubuhkan sebuah parti politik baharu.

“Beliau dakwa politik memecahkan negara. Jadi, kenapa daftar parti baharu?” katanya, mengulas wawancara Dr Mahathir dengan The Malaysian Insight, baru-baru ini.

Dr Mahathir yang tersingkir dari Bersatu selepas tidak sehaluan dengan jalan politik Muhyiddin yang meninggalkan Pakatan Harapan mengasaskan Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), yang kini menunggu kelulusan pendaftaran.

“Beliau sendiri yang memecah belah, sementara kenyataannya tidak selari dengan tindakan,” tambah Wan Saiful.

Dalam wawancara dengan The Malaysian Insight, Dr Mahathir antara lain mempertahankan pandangannya bahawa kerajaan perpaduan yang merentas garis parti politik adalah jalan masa depan untuk Malaysia.

Beliau pertama kali mengemukakan idea kerajaan tanpa parti politik semasa menjadi perdana menteri sementara, dua hari selepas pentadbiran Pakatan Harapan pimpinannya runtuh pada hujung Februari lalu.

Menurut Dr Mahathir, politik kepartian sudah cukup memecahbelahkan negara dan mencetuskan banyak masalah, terutama ketika pandemik Covid-19 belum juga reda.

Bekas perdana menteri memberi contoh bagaimana perdana menteri Malaysia yang kedua Abdul Razak Hussein mengajak parti pembangkang bersama membangunkan semula negara selepas tragedi 13 Mei. 

Beliau juga memberi contoh Kabinet Perang yang dibentuk oleh perdana menteri Britain Winston Churchill semasa Perang Dunia Kedua.

Wan Saiful berkata pembangkang yang disebut sebagai contoh oleh Dr Mahathir menunjukkan sikap sebagai negarawan yang mengetepikan politik ketika negara berhadapan krisis.

“Jadi pengajarannya ialah seorang negarawan tahu bila hendak berhenti dan bila hendak menyokong. 

“Daripada analoginya sendiri, Tun juga patut hentikan politik balas dendam dan mula memberi keutamaan kepada rakyat dengan menyokong usaha kerajaan membantu rakyat,” katanya.

Jelas Wan Saiful, Muhyiddin sudah menjemput semua pihak untuk mengetepikan perbezaan dan bekerjasama dengan kerajaan demi kesejahteraan rakyat.

“Sesiapa saja dari mana-mana parti yang percaya pada perpaduan harus menyahut seruan itu,” tambahnya. – 16 November, 2020.     


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen