Kalau diizin, Dr Mahathir mahu kerajaan tanpa parti politik


Dr Mahathir Mohamad yang kini memegang jawatan sebagai perdana menteri sementara berkata Malaysia sedang berdepan dengan masalah ekonomi dan ini masanya untuk mengetepikan politik.– Gambar Facebook, 26 Februari, 2020.

DR Mahathir Mohamad berkata, kalau diberi peluang, beliau akan membentuk sebuah kerajaan yang tidak memihak kepada mana-mana parti politik sebaliknya meletakkan kepentingan negara jauh lebih utama mengatasi politik.

Dalam perutusan khas kepada rakyat Malaysia, Dr Mahathir yang kini memegang jawatan sebagai perdana menteri sementara berkata Malaysia sedang berdepan dengan masalah ekonomi dan ini masanya untuk mengetepikan politik.

“Politik, orang politik dan parti politik terlalu utama politik sehingga lupa negara menghadapi masalah ekonomi dan kesihatan yang mengancam negara.

“Saya berpendapat betul atau tidak, politik dan parti politik perlu diketepikan buat masa sekarang.

“Jika dibenar saya akan cuba adakan pemerintahan yang tidak memihak kepada mana-mana parti. Hanya kepentingan negara sahaja yang akan diutamakan.

“Jika diizin inilah yang akan saya cuba,” katanya dalam perutusan khas itu yang disiarkan secara langsung di televisyen dan radio, petang ini.

Dr Mahathir meletakkan jawatan perdana menteri pada Isnin lalu tetapi dilantik semula oleh Yang Di-Pertuan Agong sebagai perdana menteri sementara, menunggu pelantikan perdana menteri yang baharu.

“Yang diPertuan Agong bertitah supaya saya dilantik sebagai perdana menteri sementara.

“Saya sedar apa juga yang dilakukan oleh saya sekarang akan ditentang dan ditolak oleh ramai, tetapi mungkin ada yang menyokong. 

“Saya tidak cari untuk disukai ramai. Saya hanyalah membuat sesuatu saya anggap baik bagi negara,” katanya.

Dalam perutusan yang sama, Dr Mahathir meminta maaf kepada rakyat Malaysia kerana keadaan politik negara yang agak kucar-kacir dan mungkin menyebabkan mereka resah.

Beliau menjelaskan tindakannya letak jawatan kerana tidak menganggap kuasa dan jawatan sebagai segala-galanya, sedangkan kuasa dan jawatan sepatutnya untuk kebaikan negara.

“Kerana itu saya meletak jawatan kerana bagi saya ternampak bahawa bagi orang politik yang terpenting ialah parti mana yang memerintah, sama ada yang kalah atau yang menang,” katanya.

Yang Di-Pertuan Agong semalam dan hari ini menemubual semua ahli Parlimen bagi menentukan calon perdana menteri pilihan mereka. 

Perlembagaan Persekutuan menetapkan Seri Paduka untuk melantik seorang perdana menteri dalam kalangan ahli Parlimen yang “pada hematnya mungkin mendapat kepercayaan majoriti ahli Dewan Rakyat.”

Esok, Dr Mahathir dijadual mengumumkan pakej rangsangan ekonomi, yang juga bertujuan mengurangkan kesan buruk akibat penularan Covid-19 dan ketidaktentuan yang lain. – 26 Februari, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen