Selamatkan Tasik Chini: Surat terbuka Peka buat MB Pahang


PERTUBUHAN Pelindung Khazanah Alam (Peka) Malaysia membantah dengan sekeras-keras kelulusan yang telah diberikan kepada syarikat perlombongan yang berkaitan kerabat Diraja di Lot 89798 Mukim Penyor, Pekan yang seluas 40.51 hektar bersamaan kita-kita 60 padang bola hanya berjarak 3 km dari Tasik Chini.

Tasik Chini yang dikategorikan sebagai kawasan sensitif alam sekitar juga telah dirizabkan sebagai Tapak Rizab Biosfera Unesco yang beberapa tahun kebelakangan ini bergelut dengan masalah pencemaran perlombongan dan pembalakan yang sedia ada.

Pembalakan hutan dan perlombongan yang masih berjalan hingga hari ini di kawasan berhampiran Tasik Chini telah mengakibatkan buffer zone yang semakin tipis.

Pengurusan tasik yang tidak memenuhi standard sedia ada telah mendatangkan beberapa keburukan kepada tasik dan kawasan sekitarnya. Antara masalah yang telah timbul akibat daripada pencemaran alam sekitar di kawasan ini adalah: 

a. Kualiti air tasik yang semakin buruk;
b. Kehidupan marin dalam air juga bertambah kurang;
c. Gangguan ekologi setempat;
d. Kepupusan biodiversiti setempat; 
e. Gangguan hidrologi setempat; dan 
f. Suasana tasik yang tidak lagi mempunyai nilai estetika. 

Peka Malaysia berpendapat pencemaran dan gangguan ekologi hidrologi yang sedang berlaku sekarang boleh membawa kepada bencana alam. Sebagai contoh, pencemaran kawasan tinggi sekitar tasik boleh menyebabkan banjir apabila hujan turun dengan lebat seperti yang dilaporkan tahun sebelum ini. 

Bencana alam seperti tanah runtuh boleh berlaku apabila kawasan tanah tinggi telah digondolkan bagi tujuan pembalakan dan seterusnya perlombongan.

Perlombongan ini walaupun berjarak 3 km dari Tasik Chini namun demikian tetap akan menyumbang kepada ketidak keseimbangan alam sekitar setempat. Sebelum sebarang perlombongan dimulakan, pokok-pokok hutan akan ditebang yang sekaligus akan mengakibatkan pelepasan karbon dioksida secara mendadak. Kandungan gas oksigen juga akan terganggu.

Keberkesanan tumbuhan dalam mengawal hakisan tanah bergantung kepada ketinggian dan kesinambungan kanopi pokok, kepadatan tumbuhan dan pertumbuhan akar. 

Selain itu, suhu rendah kurang dari 27°C akan meningkatkan kelembapan tanah dan menghalang proses tiupan angin terutamanya di lereng yang  tidak dilitupi dengan tumbuhan dan ini akan mengurangkan risiko hakisan yang  disebabkan oleh angin alam sekitar Tasik Chini telah menjejaskan perkembangan hutan sekeliling yang amat diperlukan bagi kelestarian alam semulajadi setempat. 

Apatah lagi setelah aktiviti perlombongan telah bermula, akan berlaku banjir lumpur dan pencemaran bahan kimia atau radioaktif yang berkaitan dengan  perlombongan dikhuatiri akan memasuki anak-anak sungai juga kualiti tanah. Ini termasuk juga kemusnahan habitat hidupan liar. 

Pencemaran alam sekitar yang berlaku juga telah menyebabkan kedatangan  pengunjung ke Tasik Chini ini semakin berkurangan. Ini terbukti jumlah pelancong amat berkurangan sejak kebelakangan ini dan kebanyakan pelancong mereka tidak bermalam di situ pada waktu cuti sekolah yang panjang atau cuti-cuti perayaan. 

Tasik Chini sudah kehilangan nilai pelancongannya kerana banyak tempat menarik  dan sekelilingnya telah tercemar. Ini terbukti apabila kita memerlukan tidak lebih  dari satu jam sahaja untuk mengelilingi tasik. Pulau-pulau yang cantik di tasik  itu juga telah tercemar dengan tumbuhan yang akan merosakkan tumbuhan asal  tasik ini. 

Kemudahan yang ada di pusat penyelidikan UKM hendaklah dimanfaatkan sebaik mungkin bagi membolehkan kerja-kerja pemeliharaan tasik dan sebagainya. 

Pada tahun 2020, YAB Dato’ Seri telah mengumumkan kerajaan Pahang telah  mewartakan Tasik Chini sebagai Taman Negeri untuk memulihkan Tasik Chini serta  MORATORIUM terhadap pemberian konsesi baru pembalakan dan perlombongan di situ.  

Dan pada tahun 2019, kerajaan Pahang juga telah mewartakan Tasik Chini dan kawasan sekitarnya sebagai HUTAN SIMPAN KEKAL (HSK). 

YAB Dato’ Seri, 

Bagaimanapun ia nampaknya tidak menghentikan kegiatan perlombongan baru. Malah kelulusan ini berada dalam Kawasan Sensitif Alam Sekitar 2, di mana dalam kategori ini boleh dibangunkan dengan syarat-syarat tertentu tetapi kegiatan perlombongan adalah dilarang.

Bagaimanapun, kerajaan Pahang telah memberi pengecualian kepada projek perlombongan ini yang  dipercayai dimiliki oleh syarikat kerabat Diraja.

YAB Dato’ Seri,

Dalam dokumen EIA turut menyatakan kerajaan Pahang menggantikan rancangan khas Tasik Chini dan meluluskan tapak projek untuk kegiatan melombong.

Ini amat mengecewakan di mana sepatutnya HSK ini dibangunkan sebagai lokasi eko-pelancongan atau agro pelancongan atau lagenda pelancongan dalam masa yang sama kestabilan Eko-Sistem dan Hutan Tadahan Air dikekalkan.  

YAB Dato’ Seri, 

Kesimpulan mengapa Tasik Chini harus dipelihara dari terus dimanipulasikan terus menerus dari sebarang aktiviti kerja-kerja membalak dan melombong dihentikan dengan kadar yang segera bagi memastikan: 

a. Perkampungan orang Asli di kawasan ini hendaklah dibantu bagi membolehkan mereka hidup dengan lebih selesa dan menjadi sebahagian daripada tarikan pelancongan di tasik ini. Orang Asli masih lagi bergantung kepada Tasik Chini  sebagai nelayan darat sebagai punca pendapatan. 

b. Pulau-pulau yang ada di kawasan tasik hendaklah dinaikkan taraf supaya ianya boleh dilawati untuk berbagai kegiatan. Kemudahan jeti dan sebagainya hendaklah  dinaik taraf. 

c. Kerajaan Negeri dan agensi-agensi berkenaan tidak boleh lagi alpa terhadap  pemuliharaan tasik ini dan usaha-usaha perlu ditingkatkan untuk menjadikan Tasik Chini, tasik kedua besarnya di Semenanjung, jadikan satu tarikan pelancong yang lebih hebat dari dahulu dengan kisah Lagenda Naga Putih dan spesis bunga teratai yang subur dan melata. 

d. Kekalkan identiti Tasik Chini sebagai Tapak Rizab Biosfera Unesco yang bertaraf antarabangsa. 

YAB Dato’ Seri,

Peka Malaysia memohon dengan kuasa penuh di tangan YAB Dato’ Seri, agar kelulusan ini dibatalkan.

Tiada keuntungan kepada kerajaan dan rakyat, malah bila berlaku bencana alam  pada setiap monsun hujung tahun, kerajaan Pahang akan menanggung kerugian dan mengeluarkan perbelanjaan lebih banyak untuk membaiki infrastruktur yang rosak juga bantuan ihsan kepada rakyat yang terkesan kehilangan tempat tinggal dan nyawa.

* Shariffa Sabrina Syed Akil, Presiden Peka Malaysia

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen