Kualiti alam sekitar terjejas semula, kata aktivis


Hailey Chung Wee Kye

Kualiti air bertambah baik semasa PKP pertama kali dilaksanakan tahun lalu, namun terjejas semula selepas aktiviti ekonomi dibenar beroperasi semula. – Gambar fail The Malaysian Insight, 4 Mei, 2021.

KUALITI alam sekitar di Malaysia mungkin bertambah baik semasa awal pandemik Covid-19, namun ia tidak kekal lama, kata aktivis.

Keadaaan kembali terjejas lebih cepat berbanding sebelum perintah kawalan pergerakan (PKP) dikuatkuasakan tahun lalu, tambah mereka.

Pakar alam sekitar memberitahu The Malaysian Insight, antara sebab berlakunya perubahan pantas ini kerana banyak aktiviti perkilangan kini rancak dijalankan selepas lama tidak beroperasi akibat PKP.

Begitu juga aktiviti pembalakan, perlombongan dan pembangunan yang tidak terkawal.

Lee Jo Kien, penganalisis dari Tropical Rainforest Conservation and Research Centre (TRCRC), berkata data yang dikeluarkan Global Forest Watch menunjukkan aktiviti penebangan hutan di Malaysia kini lebih banyak daripada kebiasaan.

“Data menunjukkan kadar penebangan hutan di Malaysia kembali normal pada separuh kedua 2020, dan melonjak pada suku pertama 2021 berbanding tahun-tahun sebelumnya,” katanya.

Larangan aktiviti ekonomi semasa PKP dikuatkuasakan pada tahun lalu secara tidak langsung bermakna kurang pencemaran pada tahun itu, tambah Lee.

“Namun, ia tidak cukup untuk menghentikan kesan aktiviti sejak berpuluh tahun dahulu seperti bencana banjir yang berlaku di pantai timur Semananjung pada Disember lalu.”

Menurut Lee, sekatan pergerakan yang menghentikan aktiviti manusia pada awal pandemik Covid-19 memulihkan ekosistem dan meningkatkan kesedaran kepada masyarakat.

Presiden Sahabat Alam Malaysia (SAM) Meena Raman bagaimanapun berkata kesedaran terhadap pemuliharaan alam sekitar sahaja tidak cukup tanpa penguatkuasaan undang-undang yang tegas.

“Semasa awal pandemik, kita lihat kualiti air bertambah baik, air sungai jernih dan udara bersih tanpa jerebu. Malangnya, pencemaran berlaku semula.

“Ini menunjukkan keadaan kembali kepada asal apabila aktiviti perniagaan dan ekonomi aktif semula,” kata Meena.

Beliau menggesa kerajaan menguatkuasakan undang-undang yang lebih tegas untuk membendung pencemaran alam sekitar. Meena percaya hukuman penjara mandatori misalnya sangat berkesan untuk membendung jenayah alam sekitar.

“Denda saja tidak cukup berkesan. Pencemar selalu terlepas kerana mereka banyak buat untung.

“Mereka tidak kisah membayar denda walaupun jumlahnya tinggi, tetapi dengan memenjarakan pengurus dan ahli lembaga pengarah syarikat sudah pasti akan memberi kesan yang berbeza.”

Bagi Meena, jenayah alam sekitar tidak boleh dipandang ringan kerana ia boleh menyebabkan kematian dan kecederaan kepada masyarakat.

Menteri Alam Sekitar dan Air Tuan Ibrahim Tuan Man bulan lalu berkata pihak yang melakukan pencemaran sisa buangan terjadual mungkin berdepan denda lebih berat sehingga RM15 juta dan hukuman penjara mandatori.

Antara cadangan pindaan dalam Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 yang sedang disemak semula kerana kompaun sedia ada terhadap pesalah sangat ringan, katanya. – 4 Mei, 2021. 

Berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen