Sistem gred air mentah hanya untungkan kerajaan negeri, kata aktivis


Bernard Saw

KASA akan memperkenalkan sistem penggredan air mentah yang membolehkan kerajaan negeri meningkatkan pendapatan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 18 Mac, 2021.

CADANGAN Putrajaya untuk memperkenalkan sistem penggredan air mentah membolehkan kerajaan negeri meningkatkan pendapatan, namun ia akan melanggar hak rakyat untuk memiliki air bersih, kata aktivis alam sekitar.

Presiden Pertubuhan Pelindung Khazanah Alam Malaysia (Peka) Shariffa Sabrina Syed Akil berkata, sistem yang cadangkan oleh Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) akan melepaskan kerajaan negeri dari tanggungjawab membekalkan air bersih kepada semua pembayar cukai.

“Bekalan air bersih adalah tanggungjawab kerajaan kepada semua rakyat Malaysia,” katanya.

Sistem yang diumumkan Menteri Alam Sekitar dan Air Tuan Ibrahim Tuan Man dilaporkan bukan sahaja akan meningkatkan pendapatan kerajaan negeri tetapi juga untuk menjaga kelestarian alam sekitar dan sumber air.

Dengan sistem ini, kerajaan negeri akan menjual air mentah besih kepada operator rawatan air pada harga lebih tinggi kerana air bersih akan mengurangkan kos pemprosesan air.

Manakala air mentah bersih bergred lebih rendah akan dijual pada harga lebih murah.

Bagaimanapun, sistem penggredan ini bermakna air bersih terawat akan hanya mampu dimiliki orang yang berkemampuan, kata Shariffa.

Rakyat yang tidak berkemampuan seperti masyarakat Orang Asli dan golongan B40 sudah tentu akan terpinggir, tambah beliau.

“Berdasarkan cadangan kementerian, rakyat yang tidak berkemampuan hanya layak menerima air terawat berkualiti rendah, walaupun pada hakikatnya air diperakui sebagai hak asasi manusia dan setiap rakyat harus menerima layanan setara.”

Tambah Shariffa, sistem penggredan yang dicadangkan oleh KASA tidak adil kerana kerajaan negeri akan membeli air mentah dari negeri lain menggunakan dana rakyat.

Satu kelemahan sistem penggredan ini ialah kementerian mengabaikan keputusan lain oleh kerajaan negeri yang mengancam bekalan air mentah.

“Misalnya, pencemaran saluran air akibat perancangan yang lemah, kelulusan bagi syarikat konsesi balak di kawasan tadahan air, masalah saliran serta kegagalan menaik taraf paip dan loji rawatan air.”

Beliau turut menarik perhatian kenyataan Tuan Ibrahim bahawa sistem penggredan air mentah membolehkan kerajaan negeri meningkatkan pendapatan.

“Peka menegaskan kerajaan mesti mengutamakan hak rakyat berbanding pendapatan negeri.

“Dan sebarang keputusan kerajaan untuk melaksanakan mekanisme yang melanggar hak untuk mendapatkan bekalan air bersih secara dasarnya melanggar hak asasi manusia.

“Peka membantah keras cadangan menteri untuk menggunapakai sistem penggredan air. Peka juga mendesak menteri supaya lebih inovatif  serta lebih bertanggungjawab dan tidak semata-mata bergantung kepada sumber alam semula jadi untuk menambah pendapatan kerajaan negeri,” katanya. – 18 Mac, 2021.

Berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen